Himpunan 26 Julai: Penjawat awam tertakluk arahan KSN, kata AGC

Himpunan 26 Julai: Penjawat awam tertakluk arahan KSN, kata AGC

Minggu lalu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam tidak menyertai himpunan anjuran pembangkang, Sabtu ini.

penjawat awam
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata penjawat awam antaranya perlu taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak berkelakuan sehingga boleh memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam dan kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan penjawat awam tertakluk kepada arahan khusus dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar berhubung larangan menyertai himpunan di ibu negara, Sabtu ini.

Agensi itu dalam kenyataan berkata seseorang pegawai awam tertakluk kepada surat aku janji dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.

Menurutnya, berdasarkan surat itu setiap pegawai awam bertanggungjawab mematuhi segala peraturan termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain dikeluarkan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh pemerintahan.

Jelasnya, penjawat awam antara lain hendaklah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, tidak berkelakuan dengan cara boleh memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam dan dilarang membuat penyataan awam boleh memburukkan kerajaan.

“Kegagalan mematuhi peraturan terbabit, perintah am, pekeliling, peraturan dan arahan dikeluarkan oleh kerajaan boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil ke atas pegawai awam.

“Jabatan ini juga ingin menegaskan meskipun Perkara 10(1)(a) dan 10(1)(b) memperuntukkan hak kepada setiap warganegara untuk bercakap dan bersuara, serta hak berhimpun secara aman dan tanpa senjata, namun hak-hak tersebut adalah tidak bersifat mutlak.

“Selaras dengan itu, sebarang perhimpunan awam juga tertakluk kepada keperluan mematuhi undang-undang sedia ada termasuk arahan khusus yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk arahan oleh KSN kepada penjawat awam,” katanya.

Minggu lalu, Shamsul Azri mengingatkan penjawat awam tidak menyertai himpunan anjuran pembangkang, Sabtu ini.

Menurutnya, mereka perlu taat setia kepada raja dan negara seperti terkandung dalam Rukun Negara dibaca penjawat awam.

Pembangkang menyasarkan 300,000 orang menyertai himpunan anti Anwar Ibrahim itu, lebih ramai berbanding sasaran 50,000 sebelum ini.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad pula dilaporkan berkata, pihaknya menjangkakan 10,000 hingga 15,000 orang menyertai himpunan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.