
G Gnanaraja berkata, beliau menggunakan Bumi Muhibah Sdn Bhd untuk rasuah kepada Lim, sekitar Ogos 2017.
Katanya, syarikat tersebut menguruskan akaun bank CIMB berkenaan yang berakhir dengan nombor 783, di mana beliau mempunyai akses penuh.
“Saya dan Yb Lim bercakap mengenainya ketika kami berada dalam kereta,” kata Gnanaraja.
Gnanaraja berkata, beliau ada bertemu dengan rakan ahli perniagaan, Zarul Ahmad Zulkifli pada Mei tahun sama bagi membincangkan penubuhan syarikat untuk Zarul demi memudahkan pembayaran kepada Lim.
“Zarul mahu saya menjadi ‘orang tengah’, untuk menyerahkan wang kepada saya, memandangkan saya tidak terlibat dengan mana-mana parti pembangkang (masa itu),” katanya sambil menambah Zarul kemudiannya memperkenalkan dirinya kepada Lim.
Tugasan pertama ‘orang tengah’
Gnanaraja memberitahu mahkamah beliau bertindak sebagai ‘orang tengah’ buat pertama kali pada 20 Ogos 2017, ketika diarah menyerahkan RM1 juta kepada Lim.
“Zarul beri saya dua beg (RM1 juta setiap satu) di Hotel Eastin beberapa hari sebelumnya. Beliau letak beg itu dalam kereta saya dan beredar,” katanya.
Gnanaraja kemudian pulang ke kediamannya dan meletakkan beg berkenaan dalam bilik membaca.
“Saya periksa kedua-dua beg dan melihat ia mengandungi not RM100. Saya juga kunci bilik membaca saya agar tiada sesiapa masuk,” katanya.
Ahli perniagaan itu berkata, Zarul menghubunginya pada 20 Ogos 2017 dan memintanya membawa satu daripada beg tersebut.
“Zarul berkata yang kami akan menjemput YB Lim dari Hotel Wenworth untuk ke Publika.”
Pendengaran di hadapan Hakim Azura Alwi ditangguhkan ke 19 Ogos ini selepas Gnanaraja memaklumkan kepada mahkamah beliau tidak sihat.
Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta 10% daripada keuntungan projek terowong bawah laut, selain beliau juga didakwa menerima rasuah RM3.3 juta daripada Zarul.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyalahgunakan secara tidak jujur tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta.