Gerai Desa Pandan tak diroboh, kata Johari

Gerai Desa Pandan tak diroboh, kata Johari

Projek pelebaran jalan tetap berjalan, dengan syarat peniaga patuh pada pelan susun atur baharu.

Johari Abdul Ghani
Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani bersama Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa (kanan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Sharif (tiga dari kanan) di jambatan menuju ke tapak gerai penjaja Desa Pandan.
KUALA LUMPUR:
Rancangan perobohan gerai penjaja di Desa Pandan telah dibatalkan susulan keputusan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Sharif dan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa.

Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani berkata, gerai-gerai tersebut akan disusun semula dan diberi lesen, dengan syarat para pengusaha mematuhi garis panduan susun atur yang baharu.

Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, projek pelebaran jalan akan tetap diteruskan seperti yang dirancang.

“Datuk bandar juga telah menegaskan, DBKL akan melaksanakan penguatkuasaan, jika penjaja mula meletakkan meja dan kerusi di tepi jalan, ini akan menimbulkan masalah.

“Kemungkinan besar, tindakan akan diambil bukan sahaja dengan tarik meja dan kerusi, tetapi juga menarik balik lesen,” katanya pada sidang media di Desa Pandan, yang turut dihadiri Maimunah dan Zaliha.

Sidang media itu diadakan susulan mesyuarat antara pejabat Johari dengan DBKL dan menteri berkenaan.

Minggu lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang mengacukan parang ke arah pegawai DBKL semasa satu operasi untuk merobohkan gerai-gerai di Jalan 2/76.

DBKL menjelaskan, pihaknya mengarahkan para penjaja untuk mengosongkan tapak tersebut sejak Januari bagi melaksanakan kerja pelebaran jalan dan menaik taraf kemudahan, dengan notis terakhir dikeluarkan pada 4 Julai.

DBKL turut memaklumkan bahawa pihaknya telah berunding dan memaklumkan pihak-pihak berkepentingan, termasuk penjaja serta persatuan mereka, mengenai rancangan tersebut.

Sehubungan itu, Johari menggesa DBKL agar meneliti semula rancangan merobohkan gerai bagi projek pelebaran jalan, sambil menegaskan bahawa laluan yang terlibat hanyalah jalan dalaman dan penjaja di situ telah beroperasi secara sah sejak sekian lama.

Hari ini, beliau mengakui pelaksanaan projek pelebaran jalan itu penting demi memastikan keselamatan penduduk sekitar dan kenderaan yang melalui kawasan tersebut.

“Kawasan ini memang perlu dilebarkan, dan kita beri ruang kepada datuk bandar untuk merancang bagaimana jalan ini boleh diperluas.

“Tiada pilihan lain jika kita mahu kawasan yang lebih selesa,” katanya.

Zaliha berkata, satu mesyuarat akan diadakan tidak lama lagi bagi membolehkan pihak berkuasa membincangkan lebih lanjut langkah-langkah seterusnya bagi projek pelebaran jalan dan penutupan sebuah jambatan berdekatan yang menuju ke kawasan tersebut.

“Kita perlu cari satu penyelesaian menang-menang yang mengambil kira semua pihak berkepentingan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.