Dewan ulama PAS patut tenang suasana, bukan perkuda agama, tegas Amanah

Dewan ulama PAS patut tenang suasana, bukan perkuda agama, tegas Amanah

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata kaitkan himpunan desak perdana menteri letak jawatan sebagai 'tanggungjawab moral dan agama' bukan dakwah.

Mahfuz Omar bantah keras seruan Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya, yang seru orang ramai sertai himpunan desak perdana menteri letak jawatan ‘tanggungjawab moral dan agama’.
PETALING JAYA:
Amanah menyelar Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) yang mengaitkan himpunan Sabtu ini sebagai ‘tanggungjawab moral dan agama’, selain menegaskan seruan itu tindakan melampau selagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dijatuhkan.

Naib Presiden Mahfuz Omar, berkata ulama sepatutnya menenangkan suasana, bukan menyalakan api perpecahan dengan memperkudakan agama untuk berkuasa.

Tegasnya, tiada satu pun bentuk kezaliman dilakukan pemerintahan Anwar dan kerajaan Madani sehingga pembangkang mahu menghalalkan rampasan kuasa secara emosi di jalanan.

“Mengaitkan tindakan politik jalanan dengan ‘tanggungjawab agama’ memberi mesej salah dan ekstrem kepada golongan pentaksub.

“Seruan DUPP ini bukan dakwah, ia jelas hasutan. Cukuplah agama Islam dijadikan kuda tunggangan untuk menjadi alat merampas kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua DUPP Ahmad Yahaya menyeru orang ramai turun menyertai Himpunan Turun Anwar 26 Julai bagi mendesak peletakan jawatan perdana menteri, dengan mengaitkannya sebagai tanggungjawab moral dan agama untuk berdepan pemerintah zalim.

Mahfuz berkata, kemahuan menukar kerajaan seharusnya dilakukan secara berperlembagaan dan berparlimen, bukan membawa rakyat ke jalanan atas semangat marah dan momokan agama.

“Malaysia diambang bahaya dengan doktrin politik memperkudakan agama untuk berkuasa. Matlamat menghalalkan cara pembangkang akan menyebabkan kehidupan bernegara terbakar hangus,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.