
Usahawan runcit terkemuka itu menyarankan sedemikian susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim wang bantuan yang tidak dibelanjakan pada akhir tahun ini akan diagihkan semula menerusi program bantuan golongan rentan pada tahun berikutnya.
“Ini inisiatif baik, maka saya harap (mereka) yang tak memerlukan bantuan itu, misalnya T20, mungkin tidak perlu gunakannya,” kata pengarah urusan pasar raya besar Mydin itu kepada FMT.
“Atau mereka boleh gunakan bantuan SARA untuk membeli kotak bantuan barangan dan makanan asas kepada sesiapa yang memerlukan.”
Mengulas lanjut, Ameer selaku pemilik rangkaian pasaraya pernah terbabit dalam program itu tidak melihat ia sebagai cabaran, memandangkan semua peruncit terpilih sudah ‘tahu’ mekanisme pelaksanaannya.
Beliau bagaimanapun menjangkakan pengguna pada mulanya akan terpaksa beratur panjang di pasaraya susulan peluasan bantuan tersebut.
“Mungkin orang akan beratur panjang sikit apabila tiba masa dapat gaji pada akhir bulan, ramai yang kena bersabar … tetapi selepas tempoh itu, semua akan kembali seperti biasa,” katanya.
Tambahnya, beliau percaya golongan selain B40 tidak akan tergesa-gesa untuk membelanjakan wang itu memandangkan tempoh penggunaannya sehingga Disember.
Hari ini, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan program SARA akan diperluas kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas dengan bantuan ‘one-off’ RM100 melalui MyKad.
Menurut perdana menteri, bantuan itu akan memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.
Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan bagi meringankan beban sara hidup serta sebagai penghargaan dan meraikan rakyat sempena Hari Kebangsaan.