
Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) memaklumkan, wakil syarikat itu dikehendaki hadir ke ibu pejabat Apad setiap bulan sepanjang tempoh pemantauan bagi memastikan komitmen berterusan kedua-dua syarikat pengendali.
“Bilangan kehadiran bulanan tertakluk kepada keperluan Apad berdasarkan tahap pemantauan dan isu semasa,” kata agensi itu dalam kenyataan.
“Sesi ini bertujuan membolehkan Apad melaksanakan pemantauan secara masa nyata dengan semakan rawak terhadap pemandu dilakukan melalui aplikasi InDrive dan Maxim.
Apad memaklumkan, tindakan tegas di bawah Seksyen 12A (5) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh dikenakan sekiranya syarikat pengendali e-panggilan didapati gagal mematuhi mana-mana syarat perkhidmatan yang ditetapkan.
Pada 24 April lepas, Apad mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) kepada Maxim dan InDrive berkuat kuasa 24 Julai susulan audit yang mendapati ketidakpatuhan terutama dalam aspek keperluan Permit Kenderaan E-Panggilan (EVP).
Berikutan itu, kedua-dua syarikat berkenaan membuat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan telah disyaratkan untuk mengambil tindakan pembetulan sebelum 24 Julai bagi kelangsungan perkhidmatan masing-masing.
“Bagi memenuhi syarat ini, Maxim dan Indrive telah menambah baik sistem pendaftaran untuk memastikan semua pemandu mempunyai EVP yang sah sebelum memulakan tugasan,” menurut Apad.
“Sebagai langkah tambahan, Maxim dan InDrive juga memberi akses data secara ‘view only’ kepada APAD bagi memudahkan proses semakan silang antara data syarikat dan data EVP di bawah pengurusan APAD.”
Apad memaklumkan, pihaknya telah melaksanakan semakan rawak pada 11 Julai lepas ke atas pemandu InDrive dan Maxim serta mendapati semua pemandu yang disemak mempunyai EVP sah berdasarkan semakan silang dengan data rekod Apad.
Kenyataan itu memaklumkan, berdasarkan hasil penelitian dan penilaian semasa Apad dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), langkah penambahbaikan dan komitmen ditunjukkan kedua-dua syarikat pengendali memuaskan.