5 termasuk jurutera PBT Sabah direman berkait rasuah RM200,000

5 termasuk jurutera PBT Sabah direman berkait rasuah RM200,000

Suspek ditahan di pejabat SPRM Sabah ketika hadir beri keterangan semalam.

handcuff
Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
PETALING JAYA:
Lima individu termasuk jurutera, penolong jurutera, kakitangan dan bekas kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) Sabah direman kerana dipercayai menerima rasuah kira-kira RM200,000 daripada beberapa kontraktor.

Suapan itu dipercayai berkait kerja dilaksanakan kontraktor berkenaan di PBT tersebut.

Perintah reman selama tujuh hari hingga 23 Julai terhadap kelima-lima suspek terdiri tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an dikeluarkan Mahkamah Majistret Sandakan, pagi tadi.

Sumber berkata, suspek terbabit ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Ketika hadir memberi keterangan sekitar 7 malam semalam.

“Berdasarkan maklumat diterima, beberapa pegawai dan kakitangan PBT berkenaan dipercayai menerima wang rasuah secara pindahan wang ke akaun peribadi masing-masing sejak tahun 2022 sehingga kini daripada beberapa kontraktor yang melaksanakan kerja di tempat mereka berkhidmat.

“Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan kerana membantu mendapatkan sebut harga dan tender melibatkan kerja di PBT berkenaan dari 2022 hingga 2025,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.