
Tunku Mahkota Ismail menyuarakan kekecewaan berhubung kelewatan pembukaan Hospital Pasir Gudang, yang sepatutnya dilaksanakan secara berfasa bermula Ogos 2025 tetapi ditangguhkan ke Januari 2026.
Turut diperhatikan gangguan sistem pagar automatik di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, serta projek tebatan banjir.
Tunku Mahkota Ismail berkata, peristiwa-peristiwa ini menunjukkan betapa pentingnya hasil cukai pendapatan Johor harus dipulangkan sebanyak 25%.
“Menerusi pulangan cukai itu, kita tidak perlu membebankan kerajaan persekutuan atau meminta permohonan daripada kerajaan persekutuan dan terpaksa menunggu sekian lama untuk mendapatkan kelulusan,” katanya di Facebook.
“Apabila hasil cukai pendapatan Johor sebanyak 25% diberikan semula kepada Johor, bermakna Johor boleh berdiri dengan kaki sendiri.”
Pada Jun tahun lalu, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata, kerajaan negeri memohon kepada kerajaan persekutuan supaya sekurang-kurangnya 30% hasil cukai negeri diberikan kepada negeri, dalam sesi bersama ketua setiausaha Perbendaharaan, ketua setiausaha Kementerian Ekonomi, dan pengarah Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan.
Pada Jun tahun ini pula, Onn Hafiz dilapor berkata, 222 projek yang sepatutnya dilaksanakan antara 2016 hingga tahun lalu masih belum dimulakan, membabitkan pelbagai kemudahan seperti jalan, masjid, hospital dan klinik kesihatan, dianggarkan bernilai RM10 bilion.
Juga pada Jun, Pulau Pinang menggesa kerajaan persekutuan mempertimbangkan secara serius permintaan supaya memberikan kepada negeri bahagian lebih besar daripada hasil.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Putrajaya tidak terima cadangan awal supaya mengembalikan 20% hasil cukai yang dikutip daripada Pulau Pinang, lalu mencadangkan kerajaan persekutuan mempertimbangkan 10%.