
Langkah itu sebahagian anjakan strategik syarikat ke arah ‘Petronas 2.0’, yang akan melibatkan perubahan struktur, organisasi dan proses kerja untuk mencapai ketangkasan dan kejayaan lebih besar, memperkasa syarikat untuk berkembang maju dalam landskap sentiasa berubah.
Pada hari sama, dagangan minyak mentah Brent dibuka pada USD64.91 setong, sebelum mencecah paras tertinggi harian pada USD65.86. Kurang dua tahun sebelum itu, pada September 2023, komoditi tersebut berada pada purata USD93.72 setong.
Bagaimanapun, faktor itu bukanlah pendorong tunggal di sebalik keputusan Petronas melaksanakan pengecilan saiz, atau istilah terkininya, pensaizan wajar (rightsizing).
Untuk mendalami mengapa Petronas dan entiti minyak dan gas (O&G) global lain menyemak atau menstruktur semula operasi mereka, FMT mengupas pelbagai cabaran baharu yang kini melanda industri ini.
Cabaran global
Selain Petronas, syarikat minyak lain seperti Chevron dan Shell turut mengurangkan kakitangan sebagai sebahagian inisiatif penstrukturan semula.
Awal tahun ini, Chevron mengumumkan pengurangan tenaga kerjanya sebanyak 20%, suatu langkah yang akan menyebabkan 9,000 kakitangan diberhentikan menjelang akhir 2026.
Menurut laporan Bloomberg, pemberhentian itu bermatlamat ‘menyelaraskan operasi, mengurangkan kos USD2 bilion hingga USD3 bilion menjelang 2026, serta meningkatkan kecekapan’.
Beberapa bulan sebelumnya, Shell mengumumkan akan mengambil langkah serupa, dengan tenaga kerjanya disusutkan sebanyak 20% dan kos dikurangkan antara USD2 bilion hingga USD3 bilion pada akhir tahun ini.
Isu kritikal
Langkah penstrukturan semula ini, termasuk pemberhentian kakitangan tidak dapat dielakkan berikutan ketidaktentuan pasaran, di samping kebimbangan persekitaran, kekangan kawal selia dan kemajuan teknologi.
Peristiwa geopolitik, termasuk konflik ketenteraan di Timur Tengah dan Ukraine, menjejaskan keseimbangan permintaan dan penawaran secara signifikan, seterusnya mewujudkan ketidakpastian dan mengakibatkan penurunan harga.
Misalnya, konflik Iran-Israel menyebabkan turun naik ketara pada harga minyak, dengan minyak mentah Brent mencapai paras tertinggi lima bulan pada USD81.40 setong susulan serangan AS ke atas fasiliti nuklear Iran, sebelum menyusut kembali kepada USD69 berikutan pengumuman gencatan senjata.
Margin keuntungan turut mulai menyusut, bukan semata-mata disebabkan penurunan harga tetapi juga oleh faktor lain. Dalam medan matang, produk yang dicari sering terperangkap dalam formasi geologi lebih kompleks, menjadikan proses pengekstrakan lebih rumit, justeru memakan kos tinggi.
Kos pengekstrakan bagi setiap tong minyak dari medan-medan lama boleh mencecah USD50, menyebabkan operasi di medan tersebut tidak dapat diteruskan secara mampan apabila harga pasaran merosot.
Peningkatan kos operasi di medan matang bukanlah faktor tunggal kepada penyusutan margin.
Petronas turut terlibat dengan ketara dalam projek perairan dalam. Syarikat itu sudah memiliki aset medan di Gumusut-Kakap, Malikai dan Kikeh di luar pesisir Sabah, dan sedang dalam proses membangunkan lapangan baharu di Limbayong dan Kluster Kelidang, juga di luar pesisir Sabah.
Selain itu, syarikat minyak negara memperluas portfolionya dalam projek perairan dalam di Suriname.
Projek perairan dalam lazimnya melibatkan kegiatan pengekstrakan pada kedalaman 4,000 kaki (1,219m) hingga 7,000 kaki (2,134m) di bawah paras laut.
Keadaan yang serba mencabar di perairan dalam dan ultra-dalam menuntut penggunaan teknologi serta prasarana terkhusus, yang menyumbang pada peningkatan kos pengeluaran.
Penglibatan aktif Petronas dalam projek gas masam, khususnya di perairan Sarawak, merupakan satu lagi cabaran utama. Kepekatan bahan bendasing yang tinggi seperti hidrogen sulfida dan karbon dioksida melonjakkan kos pemprosesan gas.
Gabungan faktor ini mendorong kos operasi ke tahap lebih tinggi, justeru mewajibkan syarikat minyak itu melaksanakan penjimatan di sektor lain bagi menjamin kelestarian perniagaannya.
Faktor alam sekitar
Peningkatan keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar mungkin merupakan cabaran utama bagi syarikat O&G.
Minyak, yang pernah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, kini dipandang sebagai penyumbang utama kepada pelbagai isu persekitaran. Isu seperti pencemaran udara dan air, serta penyahhutanan yang mengakibatkan pemanasan global, dikaitkan dengan penggunaan bahan api fosil secara meluas.
Pengeluar minyak global kini didesak untuk beralih kepada tenaga bersih bagi mematuhi peraturan alam sekitar yang semakin ketat.
Di Malaysia, Petronas mempunyai kewajipan membantu negara beralih kepada tenaga bersih bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Pelan itu merangkumi usaha mengurangkan jejak karbon negara untuk memacu ekonomi ke landasan lebih mampan.
Ini melibatkan pelaburan berbilion ringgit dalam tenaga boleh baharu untuk menjamin keperluan tenaga negara pada masa akan datang.
Keperluan transformasi
Sudah tiba masa untuk kita tidak lagi melihat sektor O&G secara keseluruhan, dan Petronas secara khususnya, dengan pandangan yang terlalu optimistik.
Banyak syarikat minyak utama, termasuk ExxonMobil, Shell, Chevron dan TotalEnergies melaporkan penyusutan keuntungan sejak 2022.
Petronas juga tidak terkecuali. Keuntungannya menurun secara konsisten, daripada RM101.6 bilion pada 2022 kepada RM80.7 bilion pada 2023, dan seterusnya kepada RM55.1 bilion pada 2024.
CEO Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz membayangkan hala tuju baharu syarikat dan antara lainnya proses kerja akan berubah.
“Kita akan lebih diterajui teknologi, dengan memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan ekosistem digital bagi menyerlahkan nilai serta melonjakkan daya pengeluaran,” katanya.
Beliau menyatakan, transformasi digital boleh membantu perniagaan meneroka peluang baharu untuk penjanaan nilai dan peningkatan daya pengeluaran, sambil melicinkan operasi dan mengurangkan ketidakcekapan.
“Analitik dipacu AI membolehkan pembuatan keputusan berasaskan data, pengurusan risiko yang lebih baik dan meningkatkan keupayaan untuk meramal serta bertindak balas terhadap perubahan pasaran.
“Ini membolehkan organisasi kekal tangkas, berdaya saing dan berada pada kedudukan yang baik bagi menghadapi cabaran landskap tenaga yang sentiasa berubah,” katanya.
Langkah pensaizan wajar ini akan meningkatkan daya tahan dan ketangkasan operasi, apabila tenaga kerja sepadan dengan keperluan strategik syarikat.
Langkah untuk menjadi lebih kecil dan cekap dari segi kos akan membolehkan Petronas meningkatkan pertumbuhan dalam bidang seperti gas asli cecair (LNG), rantaian nilai hiliran termasuk petrokimia dan pelincir, serta penyelesaian rendah karbon seperti amonia biru dan teknologi pemerangkapan serta penyimpanan karbon (CCS).
Hala tuju
Kesimpulannya, langkah pensaizan wajar ini tidak dapat dielakkan.
Dalam persekitaran margin keuntungan yang semakin menipis dan pasaran tenaga global yang pantas berubah, usaha memperkukuh syarikat minyak negara akan membawa faedah jangka panjang bagi rakyat Malaysia.
Perlu ditegaskan bahawa kedudukan kewangan Petronas kekal kukuh. Meskipun begitu, tindakan yang rasional adalah untuk bertindak sekarang, semasa syarikat masih menguntungkan, berbanding menunggu sehingga langkah-langkah yang menyakitkan seperti pemotongan gaji dan pengurangan tenaga kerja terpaksa diambil.
Selain itu, syarikat perlu menyelaraskan proses dan mengurangkan lapisan operasi untuk menjadikannya lebih tangkas.
Pensaizan wajar ialah tindakan yang tepat.