Selaras tindakan penguat kuasa elak ‘pening’, kata pengusaha bas

Selaras tindakan penguat kuasa elak ‘pening’, kata pengusaha bas

Persekutuan Persatuan Bas Sekolah sambut baik mandatori pemakaian tali pinggang keledar kepada bas SBP tapi kerajaan diminta selaras tindakan agensi penguatkuasaan.

bas ekspres
Pada 20 Julai Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya akan memperluaskan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar kepada bas milik institusi pengajian tinggi dan sekolah berasrama penuh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengusaha menggesa tindakan agensi penguatkuasaan diselaras bagi mengelakkan kekeliruan susulan cadangan memperluas pemakaian tali pinggang keledar kepada bas milik sekolah berasrama penuh (SBP).

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata pihaknya tiada isu berhubung cadangan itu memandangkan kebanyakan bas yang disewa kepada SBP sudah memasang tali pinggang.

Amali Munif Rahmat.

“Kami menyokong penuh usaha meningkatkan keselamatan penumpang, cuma harap kerajaan selaraskan tindakan agensi penguatkuasaan. ‘Pening’ kami.

“Sungguhpun penggunaan tali pinggang keledar dalam bas sekolah belum diwajibkan, tetapi ada yang gagal pemeriksaan Puspakom dengan alasan tiada pemasangan tali pinggang.

“Terdapat juga kes pemandu ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan alasan sama, meskipun tidak dikenakan saman pada akhirnya,” katanya kepada FMT.

Pada 20 Julai lalu, Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata pihaknya akan memperluaskan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar kepada bas milik institusi pengajian tinggi (IPT) dan SBP.

Katanya, JPJ akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tingi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melakukan pemeriksaan secara berperingkat bermula bulan depan.

Bermula 1 Julai lalu semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar.

Penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas dibina sebelum 2020 akan diberi tempoh tertentu membuat pemasangan tali pinggang keledar.

Sementara itu, Amali berharap kerajaan dapat meneliti sebaik-baiknya jika bercadang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar terutama bagi bas mini dan van sekolah.

Menyifatkan ia sebagai tidak praktikal malah sukar dilaksanakan, beliau khuatir terdapat risiko bahaya yang mungkin timbul.

“Suruh budak-budak kecil duduk lima minit pun dah berdiri…kejap kacau kawan kejap tolak sana-sini.

“Pernah ada kes tali pinggang keledar tersangkut leher angkara kawan main-main. Bahaya dan kadang-kadang kami pun susah nak pantau di belakang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.