Repot polis pegawai SPRM ancam kamu, Kula beritahu ahli perniagaan

Repot polis pegawai SPRM ancam kamu, Kula beritahu ahli perniagaan

Timbalan menteri undang-undang berkata, kerajaan takkan kompromi dalam isu babit tindakan ugutan atau menakut-nakutkan seseorang.

Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi M Kulasegaran gulung perbahasan RUU Pindaan Perlindungan Pemberi Maklumat 2025 di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi M Kulasegaran menggesa ahli perniagaan Albert Tei membuat laporan polis dan menamakan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mengugutnya supaya tidak mendedahkan maklumat mengenai skandal perlombongan di Sabah.

“Isu ini juga telah dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen. Ia satu dakwaan yang amat serius dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlindungan Pemberi Maklumat 2025 di Dewan Rakyat.

“Saya menasihatkan Albert Tei segera buat laporan kepada polis dan Jawatankuasa Aduan SPRM di bawah Seksyen 15 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dengan menamakan pegawai SPRM yang terlibat.”

Kulasegaran berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan tindakan ugutan atau menakut-nakutkan seseorang, dan tindakan tegas akan diambil jika dakwaan itu didapati benar.

“Sesiapa yang tampil dengan maklumat mengenai salah laku tidak sepatutnya dihalang atau diugut oleh mana-mana pihak, terutama sekali oleh pihak berkuasa yang sepatutnya melindungi pemberi maklumat di bawah Akta 711,” katanya.

Terdahulu, peguam Mahajoth Singh dilaporkan berkata, Tei ada menghubungi SPRM namun diberi amaran supaya tidak tampil, sebelum beliau kemudiannya mendedahkan skandal tersebut kepada Malaysiakini.

Malaysiakini melaporkan Mahajoth sebagai berkata, anak guamnya menghubungi SPRM pada penghujung Oktober 2024 tetapi diberi amaran oleh agensi anti-rasuah itu bahawa dia akan ‘berdepan masalah’ jika tampil.

Peguam itu turut mendakwa Tei tidak ditawarkan sebarang perlindungan.

Mahajoth mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bahawa pemberi maklumat yang mendekati media sebelum merujuk terlebih dahulu kepada agensi penguatkuasaan tidak berhak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Beliau berkata, Tei memutuskan untuk mendedahkan perkara itu kepada umum selepas tidak dilayan SPRM dan menerima ugutan bunuh.

Skandal perlombongan Sabah itu terbongkar tahun lepas susulan kebocoran beberapa video yang didakwa memaparkan perbincangan melibatkan rasuah dan salah laku berkaitan projek penerokaan mineral di negeri itu.

Tei dan dua Adun Sabah sejak itu telah didakwa di mahkamah atas tuduhan menerima dan memberi rasuah berjumlah RM350,000 berkaitan permohonan lesen cari gali mineral di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.