
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata parti bukan Melayu seperti Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) sudah tentu tawar hati jika melihat PAS turut serta dalam perbincangan itu.
“Jika PAS bersama dalam barisan pembangkang dari awal lagi, kemungkinan parti lain tawar hati kerana PAS diketahui dengan pandangan ekstremnya,” katanya merujuk penubuhan ‘Barisan Pembangkang Bersatu’ dipelopori Muhyiddin selaku pengerusi PN.
“Jadi, tidak melibatkan PAS (dalam pertemuan pertama) adalah keputusan strategik Bersatu,” katanya kepada FMT, mengulas ketiadaan wakil PAS dalam pertemuan Muhyiddin dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dengan parti di luar blok kerajaan pada 18 Julai lalu.
Antara parti hadir mesyuarat itu adalah Muda, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pejuang, Putra, PPP, Urimai, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia dan Parti Kemajuan Malaysia (MAP), selain Bersatu, Gerakan serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Selain Gerakan dan MIPP yang berada dalam PN, pimpinan PAS tidak kelihatan dalam pertemuan itu. Namun, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jemputan pertemuan itu hanya diberikan kepada Presiden Hadi Awang.
Tuan Ibrahim berkata, Hadi tidak dapat hadir kerana ada program lain dan begitu juga beliau. Sebelum itu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden memaklumkan beliau tidak mempunyai maklumat mengenai pertemuan berkenaan.
Namun, Azmi percaya PAS mengetahui program itu namun ‘buat-buat terkejut kerana sudah tahu kesannya jika turut serta dalam pertemuan itu’.
Beliau berpandangan, PAS tetap akan berada dalam pakatan pembangkang itu apabila ‘semua urusan selesai’. Buat masa ini belum (masa sesuai untuk libatkan PAS) lagi, biarlah Bersatu uruskan perkara ini.
“Setelah berjaya memujuk dan bermesyuarat, membuat keputusan, merangka strategi antara parti pembangkang…kemudian hari barulah PAS akan dijemput untuk bersama,” katanya.
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) bagaimanapun percaya tindakan Hadi dan timbalannya tidak hadir pada pertemuan itu ada kaitan dengan kenyataan terbuka Mursyidul Am PAS Hashim Jasin baru-baru ini yang menuntut Bersatu tidak membelakangkan partinya dalam membuat perkara dasar.
“Kemungkinan besar ada tindakan Muhyiddin berkenaan langkah pertemuan tersebut tidak direstui PAS kerana kita lihat ada kenyataan terbuka daripada mursyidul am mengenai ketidaksenangan PAS berkaitan Muhyiddin.
“Justeru, tidak mustahil pertemuan tersebut juga tidak disenangi oleh PAS menyebabkan presiden atau wakil presiden tidak hadir dalam pertemuan berkenaan,” katanya.
Katanya, situasi itu hanya menyerlahkan lagi keretakan hubungan antara kedua-dua parti dan mencetuskan pergeseran lebih serius menjelang PRU16 akibat tindakan Bersatu seolah-olah membelakangkan PAS.
“Isyarat jelas iaitu Bersatu cuba mencari rakan kongsi politik baru dengan parti kecil tetapi Bersatu silap strategi kerana parti ini tidak memiliki kekuatan malah semua calon mereka tewas dalam pilihan raya malah hilang deposit,” katanya.