
Menurutnya, ia susulan pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tiada elemen jenayah atau salah guna kuasa dalam tender untuk inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terbabit.
“Saya menuntut bagi pihak warga KPKT, mereka yang membuat tohmahan dan fitnah sila mohon maaf,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Nga menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH- Batu Pahat) yang membangkitkan persoalan berhubung pelaksanaan program MyKiosk 2.0.
Pada 3 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata tiada elemen jenayah dikesan dalam siasatan tender pembinaan MyKiosk oleh KPKT.
Azam menjelaskan pertikaian terhadap isu tender dan harga bagi projek MyKiosk seperti ditohmah sesetengah pihak adalah tidak benar.
Mei lalu, Pemuda MCA Selangor membuat laporan kepada SPRM bagi menggesa siasatan ke atas projek bernilai RM250 juta itu, dengan Ketuanya Tan Jie Sen mendakwa hanya lebih separuh kiosk digunakan.
Sebelum ini, sayap itu mempersoalkan kenapa kerajaan membayar RM25,000 hingga RM34,000 sedangkan harga pasaran hanya RM12,800 bagi seunit kios..
Nga berkata kementeriannya yakin tiada salah laku dan pergi ke SPRM untuk menyerahkan segala dokumen bagi menjawab segala tuduhan.
Bagaimanapun, Nga mengakui wujud kelemahan dalam pelaksanaan projek berkenaan dan menegaskan KPKT sedang melaksanakan pembaharuan untuk mengatasi masalah timbul.
MyKiosk adalah inisiatif bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah.
Hingga Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk diluluskan di 133 pihak berkuasa tempatan seluruh negara, membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan.