LKAN: RM48.87 bilion nilai kos keseluruhan diaudit, bukan ketirisan

LKAN: RM48.87 bilion nilai kos keseluruhan diaudit, bukan ketirisan

Ketua audit negara berkata, nilai kos keseluruhan itu rangkumi lima program, kegiatan dan projek di tujuh kementerian.

2025 Accounting Fraud Working Group KKFP
Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, LKAN 2/2025 akan dibahaskan di Dewan Rakyat esok.
PUTRAJAYA:
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mengaudit lima program, kegiatan dan projek di tujuh kementerian dengan nilai kos keseluruhan berjumlah RM48.87 bilion, menurut Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Beliau berkata, jumlah itu bukan ketirisan atau kerugian seperti yang dilaporkan dalam beberapa portal media.

“Kenyataan sedemikian berpotensi mencetuskan kekeliruan serta persepsi negatif yang tidak berasas terhadap pengurusan kewangan negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, skop pengauditan itu secara amnya mengambil kira prestasi program, projek dan kegiatan dilaksanakan, merangkumi pelbagai tahun ke belakang (isu-isu legasi) serta sebarang usaha atau inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan.

Justeru, katanya, setiap penemuan yang dibentangkan dalam laporan berkenaan disusuli dengan syor penambahbaikan yang konstruktif bagi membantu kementerian, jabatan dan agensi kerajaan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh sistem dalaman dan pematuhan.

Wan Suraya berkata, 44 isu yang dilaporkan dalam LKAN 2/2025 telah pun dimuat naik di papan pemuka dalam talian Ketua Audit Negara (AGD) semalam untuk disusuli dengan kementerian dan jabatan berkenaan.

Katanya, isu-isu yang sama juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius yang dipengerusikan oleh ketua audit negara dan ketua setiausaha perbendaharaan secara bersama.

“Bagi tempoh 2024 hingga Jun 2025, susulan audit yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara telah berjaya membantu kerajaan mendapat bayaran balik berjumlah RM157.73 juta, antaranya menerusi tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages,, tunggakan pajakan tanah, kutipan duti dan cukai,” katanya.

Wan Suraya berkata, LKAN 2/2025 dibentangkan dalam Dewan Rakyat semalam setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan laporan itu akan dibahaskan di Dewan Rakyat esok.

Sepanjang proses pengauditan, katanya, Jabatan Audit Negara mendapat sokongan jitu daripada semua jentera kerajaan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.

Tambahnya, kerjasama dan komitmen itu amat penting sebagai pemangkin kepada tadbir urus berintegriti, dan menyokong agenda reformasi sektor awam ke arah pentadbiran yang cekap, berakauntabiliti dan berorientasikan rakyat.

Orang ramai dinasihatkan mendapatkan gambaran berfakta, tepat dan menyeluruh dari laman sesawang Jabatan Audit Negara .

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.