
Beliau berkata pengurangan subsidi itu akan memberikan kerajaan penjimatan sehingga RM135 juta untuk tempoh tiga bulan sebelum penamatan penuh dilaksanakan bermula 1 Ogos ini.
“Seperti telah diumumkan kerajaan, subsidi telur ayam akan ditamatkan secara berfasa bermula dengan pengurangan kadar subsidi daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji telur, berkuat kuasa mulai 1 Mei lalu hingga 31 Julai ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung hasil penjimatan menerusi pengurangan perbelanjaan subsidi dan impak terhadap pasaran telur di pasaran serta impak kepada kos sara hidup secara keseluruhan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata bekalan telur ayam pada masa ini berada pada tahap yang stabil dan dijual pada harga berpatutan.
Beliau berkata pada Julai ini, anggaran pengeluaran telur ayam adalah sebanyak 1.75 bilion biji sebulan, dan keperluan penggunaan domestik dianggarkan 1.06 bilion biji.
“Ini menunjukkan lebihan pengeluaran sebanyak 0.69 bilion biji telur, yang sebahagiannya akan digunakan bagi tujuan pasaran eksport,” katanya.
Mohamad juga berkata bagi memastikan bekalan dan harga telur kekal stabil, pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus melaksanakan pemantauan rapi terhadap bekalan dan harga telur.
Katanya, dengan mengurangkan perbelanjaan itu kerajaan dapat menyalurkan semula peruntukan subsidi kepada inisiatif dan program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Pada April lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPM) memaklumkan keputusan menamatkan subsidi telur ayam itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil.