Kelantan mohon Putrajaya tambah aset, anggota keselamatan banteras dadah

Kelantan mohon Putrajaya tambah aset, anggota keselamatan banteras dadah

Exco negeri Zamakhshari Muhamad berkata Kelantan adalah negeri dengan risiko tinggi kerana terletak di sempadan negara.

sempadan thailand malaysia
Exco Kelantan Zamakhshari Muhamad mahu kawalan di sempadan negara yang terletak di negeri itu diperkasakan agar dadah tidak dapat membolos melalui jalan darat dan laut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kelantan memohon Putrajaya meningkatkan jumlah aset dan anggota penguat kuasa di negeri itu dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.

Gesaan itu dibuat memandangkan Kelantan berisiko tinggi sebagai negeri di sempadan sama ada menjadi transit atau pengedaran terus.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata tindakan tegas juga perlu diambil terhadap anggota penguat kuasa disyaki bersekongkol dengan taikun-taikun dadah.

“Kerajaan pusat perlu memperkasakan lagi aset dan anggota penguat kuasa, terutamanya polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan bagi menghapuskan gejala ini hingga ke peringkat akar umbi.

“Kawalan sempadan juga perlu diperkasakan supaya dadah tidak dapat membolos melalui sempadan darat dan laut,” katanya kepada FMT.

“Selain itu, siasatan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap anggota bersekongkol dengan penjual dan pengedar dadah.”

Zamakhshari, yang juga pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) negeri, turut memuji tindakan polis membuat beberapa siri tangkapan besar-besaran dadah di Kelantan.

Katanya, kepimpinan negeri sedia bekerjasama rapat dengan semua pihak dalam membanteras bahan terlarang itu, melangkaui kepentingan politik.

“Kerajaan negeri mempertingkatkan kempen kesedaran dalam kalangan semua pemegang taruh supaya tindakan dapat dilakukan secara bersepadu.

“Kelantan menyokong penuh kenyataan timbalan perdana menteri (Zahid Hamidi) yang menyeru semua pihak berganding bahu memerangi penyalahgunaan dadah.

“Peratusan peningkatan (penggunaan dadah) di peringkat negara begitu ketara dan semua agensi penguatkuasaan perlu digerakkan sepenuhnya,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan terhadap individu menyalahgunakan lesen perniagaan bagi tujuan jenayah seperti pengedaran dadah, Zamakhshari berkata pihaknya bertindak mengikut bidang kuasa diperuntukkan termasuk menyenarai hitam mereka yang melanggar undang-undang.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, memaklumkan negeri itu menjadi transit dadah jenis syabu, ganja, dan heroin yang diseludup dari negara jiran.

Pada 3 Julai lalu, polis menahan enam individu dan merampas pil kuda seberat 35.4kg bernilai RM5.04 juta dalam enam serbuan di Pasir Mas dan Tumpat manakala pada 11 Julai pasukan itu menahan sepasang suami isteri termasuk merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM3.1 juta.

Yusoff turut memaklumkan polis mengesan beberapa pempengaruh dan pengasas kosmetik yang berselindung di sebalik perniagaan untuk menyembunyikan kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.