Johari gesa sistem import sisa plastik dikaji semula

Johari gesa sistem import sisa plastik dikaji semula

Pemangku menteri sumber asli dan kelestarian alam jawab kebimbangan mengenai isu salah klasifikasi dan seludup sisa plastik.

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Johari Abdul Ghani berkata, 4 kementerian terlibat dalam import sisa plastik mempunyai ‘bidang kuasa sangat berbeza’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Johari Abdul Ghani menggesa agar cara Malaysia menguruskan import sisa plastik dikaji semula, dan menyatakan bahawa penguatkuasaan lebih berkesan merentas pelbagai pihak berkuasa amat diperlukan.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini, empat kementerian yang terlibat dalam urusan import sisa plastik mempunyai ‘bidang kuasa yang sangat berbeza’.

“Tetapi kalau kita nak dapat ‘effective enforcement’, empat-empat ini kena duduk satu meja,” katanya.

Johari berkata demikian bagi menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berhubung salah klasifikasi sisa plastik, penyeludupan sisa plastik di pelabuhan dan kekurangan pemeriksaan di kilang kitar semula.

Selain Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, kementerian lain yang terlibat dalam urusan import sisa plastik terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Johari berkata, banyak kontena yang mengandungi sisa plastik tidak diisytihar berkemungkinan memasuki negara melalui pelabuhan disebabkan oleh keupayaan penguatkuasaan kastam yang terhad.

Beliau menggesa agar pemantauan yang lebih ketat dilaksanakan, menyatakan bahawa semua syarikat kitar semula plastik wajib berdaftar dengan Miti serta menjalani proses pelesenan tahunan.

“Sekali (syarikat-syarikat) nak dapat lesen, kita akan nak tengok akaunnya yang diaudit, berapa banyak jualannya, berapa banyak eksport dan apa (mereka) buat dengan sisa setelah diproses,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.