
Tom Wright berkata, butiran dalam pasport palsu tersebut – termasuk nama dan tarikh lahir – telah digunakan untuk membuka syarikat yang dinamakan Wisdom Opensto Technology Service Enterprise Ltd.
Syarikat itu dikatakan telah didaftarkan pada 13 Mac dengan alamat pejabat berdaftar di Cardiff, South Glamorgan.
“Maklumat baharu sedang diterima berkaitan (kaitan Low dengan) syarikat-syarikat di Amerika Syarikat dan kemungkinan kaitan dengan Hong Kong,” kata Wright dalam satu hantaran di X.
Perkara ini timbul beberapa hari selepas Wright dan seorang lagi wartawan, Bradley Hope, mendakwa Low menggunakan pasport palsu Australia atas nama ‘Constantinos Achilles Veis’ untuk menyembunyikan identitinya.
Mereka juga mendakwa Low kini menetap di sebuah rumah agam di Green Hills, sebuah kawasan kejiranan mewah di Shanghai, China, berdasarkan bukti yang dikumpulkan daripada pelbagai sumber dan dokumen yang baru diperoleh.
Hope dan Wright turut mendakwa Low bekerja sebagai ‘ahli strategi di belakang tabir untuk kerajaan China’ dan peranannya didakwa termasuk membantu syarikat dari China yang disekat ‘menangani kesulitan di seluruh dunia’.
Mereka ialah bekas wartawan Wall Street Journal yang mendedahkan banyak kisah awal 1MDB dan menulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale’ berhubung skandal itu.