Aduan tetap diterima walau Lembaga Disiplin PKR belum ada, kata Fuziah

Aduan tetap diterima walau Lembaga Disiplin PKR belum ada, kata Fuziah

Setiausaha agung parti beri jaminan PKR tidak cuba menutup mulut mereka yang mempunyai masalah dengan ahli lain.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata perlembagaan membenarkan Majlis Pimpinan Pusat parti meneliti dan membuat keputusan berhubung aduan.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh beri jaminan kepada ahli, parti akan terus menerima aduan dibuat terhadap rakan seangkatan mereka walaupun lembaga disiplin belum dibentuk semula selepas pemilihan baru-baru ini.

“Kami tidak cuba menghalang ahli daripada bersuara (menentang rakan seangkatan mereka dalam parti). Mereka mempunyai hak untuk mengemukakan aduan,” katanya kepada FMT.

Fuziah mengakui ada ahli bertanya tentang memfailkan laporan salah laku. Beliau berkata ketiadaan lembaga itu tidak seharusnya dilihat sebagai cubaan untuk menyekat perbezaan pendapat dalaman.

“Masih ada ruang untuk ahli memfailkan laporan tatatertib ke atas ahli lain,” katanya memaklumkan parti boleh bertindak ke atas aduan tersebut melalui peruntukan dalam perlembagaannya.

“Terdapat klausa dalam perlembagaan parti yang membenarkan Majlis Pimpinan Pusat meneliti dan membuat keputusan secara langsung.”

Mesyuarat majlis seterusnya dijadualkan pada 27 Julai akan menyediakan forum untuk menangani sebarang perkara mendesak.

Fuziah menegaskan, penyusunan semula dalaman parti yang berterusan tidak menghalang ahli daripada mendapatkan bantuan melalui mekanisme sedia ada.

Kenyataannya susulan rasa kurang senang yang semakin meningkat dalam PKR, dengan beberapa pemimpin baru-baru ini menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap hala tuju parti dan keputusan kepimpinan.

Pemilihan PKR bermula pada Mac tahun ini, meliputi kedua-dua pertandingan kepimpinan peringkat pusat dan cabang, dan kemuncaknya dengan pembentukan majlis kepimpinan pusat baharu pada 23 Mei 2025.

Pada Jumaat, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa ahli untuk mengatasi perselisihan dalaman terutama berkaitan pelantikan kehakiman.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil kemudian berkata Anwar tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen yang berbeza pandangan.

“Mereka berhak menyatakan pandangan dan Anwar meminta ketua-ketua bahagian dan anggota PKR faham perkara ini dan ‘move on’,” katanya kepada pemberita selepas program di Shah Alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.