2,293 pesakit dalam senarai menunggu pembedahan kardiotorasik

2,293 pesakit dalam senarai menunggu pembedahan kardiotorasik

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata purata tempoh menunggu untuk menjalani pembedahan itu adalah tujuh bulan.

Wad hospital doctor and patience and nurses
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pesakit di hospital kerajaan berdepan tempoh menunggu yang lama untuk menjalani pembedahan pintasan arteri koronari dan buang batu karang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 2,293 pesakit kini berada dalam senarai menunggu untuk menjalani pembedahan kardiotorasik di hospital kerajaan, dengan purata menunggu sebahagian daripada mereka sehingga tujuh bulan, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Dzulkefly berkata pesakit yang menunggu untuk menjalani prosedur utama seperti pembedahan pintasan arteri koronari dan injap jantung perlu menunggu kira-kira tujuh bulan secara purata.

Katanya, terdapat 603 kes elektif pembedahan kardiotorasik pediatrik, dengan pesakit perlu menunggu purata selama 21 bulan.

“Perkhidmatan ini disediakan di tujuh hospital kerajaan yang menyediakan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik.

“Pembedahan kardiotorasik kanak-kanak buat masa ini dilakukan oleh pakar pembedahan kardiotorasik dewasa selain dirujuk ke Institut Jantung Negara kerana pakar pembedahan kardiotorasik kanak-kanak masih dalam latihan,” katanya.

Dzulkefly berkata seramai 2,661 pesakit sedang menunggu untuk menjalani prosedur membuang batu karang buah pinggang, dengan purata tempoh menunggu 11 bulan.

Katanya, perkhidmatan ini disediakan di 13 hospital kerajaan dengan residen pakar pembedahan Urologi.

Seramai 9,233 pesakit lagi sedang menunggu untuk menjalani pembedahan katarak dengan tempoh menunggu kira-kira tiga bulan. Sebanyak 56 hospital kerajaan menyediakan perkhidmatan tersebut.

Bagi mengurangkan tempoh menunggu bagi prosedur pembedahan, Dzulkefly berkata kementerian menempatkan pakar pembedahan ke lebih banyak hospital tanpa residen pakar bagi memulakan perkhidmatan.

Katanya, kementerian juga sedang berusaha mengurangkan tempoh menunggu pembedahan melalui kerjasama awam-swasta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.