Pesalah buang sampah bakal berdepan khidmat masyarakat 12 jam

Pesalah buang sampah bakal berdepan khidmat masyarakat 12 jam

Pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 sasar buang sampah kecil seperti puntung rokok, tisu, plastik dan tin minuman.

alam flora
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata hukuman itu adalah sebagai langkah mendidik dan memupuk masyarakat yang lebih tanggungjawab serta prihatin terhadap kebersihan.
KUALA LUMPUR:
Mereka yang didapati membuang sampah merata-rata di tempat awam bakal berdepan hukuman khidmat masyarakat tidak lebih 12 jam, menerusi pindaan terhadap Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata hukuman itu adalah sebagai langkah mendidik dan memupuk masyarakat yang lebih tanggungjawab serta prihatin terhadap kebersihan.

“Berdasarkan rekod jumlah sampah kecil yang dikutip, jelas menunjukkan bahawa hukuman denda oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi menjadi halangan kepada pesalah untuk tidak mengulangi tabiat buruk tersebut.

“Oleh itu, mahkamah akan diberi kuasa untuk mengenakan denda dan membuat suatu perintah khidmat masyarakat tidak lebih daripada 12 jam kepada orang yang disabitkan dengan kesalahan membuang sampah,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan).

Nga berkata hukuman khidmat masyarakat bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia dilaksanakan di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Australia, Filipina, Thailand dan Indonesia.

Katanya, di Singapura, pesalah perlu melakukan khidmat masyarakat sambil memakai vest yang tertera perkataan ‘litterbug’ (pembuang sampah).

“Inilah bentuk hukuman yang mempunyai nilai pendidikan serta bertindak sebagai pengajaran,” katanya.

Beliau berkata peruntukan baharu ini menyasarkan pembuangan sampah yang bersifat kecil seperti membuang puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman, pembungkus makanan di tempat awam atau jalan awam.

Nga menegaskan bahawa perbuatan membuang sampah merata-rata masih merupakan isu yang tidak boleh dipandang ringan meskipun sistem pengurusan sisa negara telah banyak meningkat.

“Walaupun perkhidmatan pengurusan sisa pepejal sentiasa ditambah baik oleh kerajaan saban tahun, namun tanpa perubahan sikap oleh rakyat, budaya kebersihan sukar dipertingkatkan,” katanya.

RUU itu turut memperkenalkan Seksyen 77A yang menjadikan perbuatan membuang sisa pepejal di tempat awam atau atas jalan raya sebagai kesalahan, yang boleh didenda sehingga RM2,000.

Pindaan yang mengandungi empat fasal ini hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan Labuan, manakala Sabah dan Sarawak boleh menggunapakai undang-undang ini menerusi ordinan masing-masing, menurut RUU tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.