
You Wei, 22, didakwa menyebabkan kecederaan parah dengan menikam bahagian kiri leher mangsa menggunakan pisau di sebuah universiti swasta di Sunway, pada 14 Julai.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa pertuduhan dibacakan kepadanya, You memberitahu mahkamah bahawa dia faham namun ‘tidak bersetuju’.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dengan alasan dia berisiko melarikan diri.
Peguam tertuduh, Revin Kumar, memaklumkan anak guamnya bersedia patuh sebarang syarat jaminan ditetapkan mahkamah, termasuk menyerahkan pasport kepada pihak berkuasa dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
“Anak guam saya akan menjawab tuduhan ini. Dia akan berada di sini untuk menghabiskan pengajian,” katanya.
Revin berkata, You menghidap gangguan bipolar dan mengambil ubat bagi menanganinya.
Hakim Norazlin Othman membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.
Hakim turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi lain sementara menunggu perbicaraan, selain You diarah menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 17 Sept ini bagi sebutan semula kes.