
Sindiket tersebut dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa, menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.
Menurut sumber, SPRM turut merakam percakapan seorang individu dipercayai suspek yang terlibat dengan kegiatan tersebut hari ini, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.
SPRM juga membekukan 324 akaun perbankan iaitu 142 milik syarikat dan 182 milik individu, melibatkan nilai hampir RM150 juta dengan nilai sitaan kira-kira RM183 juta.
“Secara keseluruhannya, nilai sitaan aset dan pembekuan akaun kini adalah sebanyak lebih RM332 juta,” kata sumber.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengesahkan maklumat itu berkata, SPRM masih mengenal pasti suspek-suspek yang terlibat.
Katanya, SPRM kini sedang meneliti sumber kewangan suspek serta syarikat yang disiasat menerusi kerjasama dengan agensi-agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Selain siasatan di bawah Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 serta di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram oleh SPRM, siasatan juga dilakukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 selain Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi yang terlibat dalam operasi ini,” katanya.