
Beliau berkata, segelintir pihak sepatutnya faham mengenai proses Perlembagaan, namun memilih untuk memutar belit fakta.
“Nama calon telah dikemukakan lebih awal, sebelum negara ‘riuh’.
“Kita hanya tunggu giliran mesyuarat Majlis Raja-raja pada 15 dan 16 Julai lalu. Pelantikan lain seperti hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga telah dikemukakan dua bulan atau dua bulan setengah lebih awal.
“Semuanya ikut proses. Tiada siapa boleh mendahului perkenan Tuanku dan rundingan Majlis Raja-raja,” katanya menurut Sinar Harian pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Menurutnya, pelantikan badan kehakiman memerlukan cadangan daripada perdana menteri seperti diperuntukkan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, sebelum diperkenankan Agong dan dirunding bersama Majlis Raja-raja.
Anwar turut mempersoalkan bagaimana khabar angin mengenai pelantikan itu boleh tersebar.
“Saya percaya mungkin ada juga elemen dalam badan kehakiman yang membocorkan dan menyebarkan cerita tidak tepat ini. Tidak mengapa itu urusan mereka.”
Anwar turut menekankan penjawat awam perlu memahami isu menyentuh sistem negara kerana ia membabitkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Beliau menyifatkan apa yang berlaku sebagai pengajaran supaya masyarakat tidak mudah menghukum sebelum mengetahui perkara sebenar.