N Sembilan terima anugerah negeri paling progresif

N Sembilan terima anugerah negeri paling progresif

The International Business Review (IBR) Asean Awards beri pengiktirafan itu berdasarkan 20 kriteria pelbagai bidang.

Aminuddin Harun
Menteri Besar Aminuddin Harun, berkata pencapaian itu bukti langkah proaktif pasukan dalam pentadbiran kerajaan. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Negeri Sembilan menerima pengiktirafan sebagai negeri paling progresif di Malaysia untuk 2024 bagi anugerah The International Business Review (IBR) Asean Awards 2025.

Menteri Besar Aminuddin Harun dalam kenyataan, berkata pencapaian ini membuktikan langkah proaktif pasukan dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pengiktirafan itu berdasarkan 20 kriteria ranking negeri-negeri di Malaysia berhubung tarikan bagi pelabur global, seperti aspek keselamatan kewangan, kemudahan berurus niaga, pelancongan, industri, kesedaran global, dasar memberi kesan positif, kesaksamaan pemilikan tanah, pemeliharaan alam sekitar, indeks kebahagian rakyat, keselamatan bekalan makanan, dan perancangan masa depan.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar anugerah, malah sebagai bukti usaha kolektif pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan semua peringkat yang berteraskan tema Bersih, Muafakat, dan Sejahtera,” menurut kenyataan itu.

Exco Bertindak Industri dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Seong bersama Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Arwan Sabri mewakili pentadbiran negeri menerima anugerah tersebut, yang berlangsung di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu pada Sabtu lalu.

Anugerah berprestij ini adalah berdasarkan penilaian terperinci oleh penilai-penilai profesional yang terdiri tokoh ternama pelbagai bidang dari dalam dan luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.