
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah unit flat di Jalan Hang Tuah di sini, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.54 pagi, sebelum 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.
Kebakaran menyebabkan kemusnahan 100% terhadap unit di tingkat 10 flat berkenaan yang berkeluasan kira-kira 6 x 6 meter.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 3.10 pagi dan mangsa berusia 50-an ditemui di dalam bilik air.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.