Kegiatan sabung ayam di Tawau tumpas, rampasan lebih RM3 juta

Kegiatan sabung ayam di Tawau tumpas, rampasan lebih RM3 juta

Polis merampas 622 ekor ayam sabung baka dipercayai dari Filipina serta menahan empat warga asing dan seorang warga tempatan.

sabung ayam tawau
Satu daripada dua tempat penyimpanan ayam sabung baka Filipina di Tawau yang diserbu polis. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis melumpuhkan kegiatan perjudian sabung ayam baka Filipina selepas menahan lima lelaki dan membuat rampasan lebih RM3 juta ketika menyerbu dua tempat penyimpanan di Tawau, Sabah, Jumaat lalu.

Serbuan pada 2.30 petang itu membabitkan pasukan dari Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKNDKA) Bukit Aman, IPD Tawau, Batalion 14 Pasukan Gerakan Am Tawau serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cawangan Tawau.

Pengarah JKNDKA, Azmi Abu Kassim, berkata masing-masing dua lelaki Indonesia dan Filipina berusia 31 hingga 52 tahun ditahan dalam serbuan pertama di Kampung Apas Parit, Jalan Apas Parit.

Katanya, 470 ekor ayam sabung baka dipercayai dari Filipina, 40 bilah pisau taji ayam, 180 unit vitamin, 500 sangkar serta reban ayam turut dirampas.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan dan 152 ekor ayam sabung baka dipercayai dari Filipina dirampas dalam serbuan kedua di Kampung Membalua Off Jalan Apas.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM3,287,708. Operasi ini dilancarkan bagi membanteras sebarang kegiatan membabitkan perjudian sabung ayam di Sabah,” katanya menurut Harian Metro.

Azmi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 55B, 39B dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 serta Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.