Kebakaran tapak pelupusan sampah Kuantan berjaya dikawal

Kebakaran tapak pelupusan sampah Kuantan berjaya dikawal

Ketika ini kawasan terjejas hanya dipenuhi asap dan kerja menimbus semula timbunan sampah dengan tanah sedang dijalankan.

Anggota bomba membuat pemantau operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Jerangau-Jabor, Mukim Sungai Karang di Kuantan. (Gambar Adun Beserah)
KUANTAN:
Kebakaran di tapak pelupusan sampah Jerangau-Jabor, Mukim Sungai Karang di sini yang berlaku sejak semalam berjaya dikawal daripada merebak kira-kira pukul 5.30 petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Zahidah Ali berkata seramai 12 anggota termasuk pegawai masih ditempatkan di lokasi malam ini bagi menjalankan pemantauan berterusan.

Menurutnya ketika ini kawasan terjejas hanya dipenuhi asap dan kerja menimbus semula timbunan sampah dengan tanah sedang dijalankan.

“Langkah itu penting bagi menghalang asap tebal terus keluar dari timbunan. Kerja menimbus dijalankan oleh kontraktor hingga lewat malam, manakala bomba kekal memantau keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zahidah memaklumkan operasi pemadaman melibatkan keluasan kira-kira satu hektar dimulakan sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.46 petang semalam, sebelum tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Terdahulu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan kebakaran itu menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di Balok Baru, Kuantan dan Kemaman, Terengganu.

IPU yang direkodkan setakat jam 8 malam tadi ialah 151 di Balok Baru dan 150 di Kemaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.