Ibu lemas, anak selamat kereta junam dalam tasik Unimas

Ibu lemas, anak selamat kereta junam dalam tasik Unimas

Siasatan awal polis menyatakan si ibu dipercayai terlupa menukar gear ke 'P' atau secara tidak sengaja tertekan pedal minyak.

Kelihatan orang awam berenang untuk menyelamatkan anak mangsa berusia 17 tahun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Wanita lemas manakala anaknya berusia 17 tahun terselamat selepas kereta dinaiki terjunam dalam tasik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kota Samarahan, pagi tadi.

Ketua Polis Kota Samarahan, Damataries Launtin, berkata mangsa maut adalah Nur Shareefah Lusia Abdullah, 50.

Katanya, Shareefah dipercayai sedang meletakkan kenderaan di tepi jalan sebelum kereta itu meluncur masuk ke dalam tasik.

“Siasatan awal mendapati mangsa mungkin terlupa menukar gear ke kedudukan ‘parking’ atau secara tidak sengaja menekan pedal minyak.

“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang tenggelam dalam tasik berlumpur,” katanya kepada Berita RTM.

Anak perempuan mangsa berusia 17 tahun berjaya menyelamatkan diri dan dibantu oleh orang awam di lokasi kejadian.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.