
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata festival itu bakal mengangkat peranan muzium sebagai jambatan antara generasi, merentas perbezaan kaum dan agama dalam membina naratif kebangsaan yang inklusif.
“Dalam landskap masyarakat yang semakin dinamik dan berbilang bangsa, muzium berperanan sebagai jambatan antara generasi, merentas latar belakang etnik dan agama, menyatukan kita dalam satu naratif kebangsaan yang inklusif dan bersepadu.
“Festival ini membawa pengisian yang padat dan menarik seperti pameran interaktif, bengkel pendidikan, persembahan kebudayaan serta aktiviti komuniti yang meraikan kepelbagaian dan kekuatan warisan negara,” katanya dalam kenyataan.
Festival yang membawakan tema ‘Masa Depan Muzium Dalam Komuniti Yang Berubah Pantas’ akan berlangsung dari 23 hingga 29 Julai di Muzium Padi, Kedah.
Antara aktiviti utama yang dijadualkan termasuk pameran dan citrawarna muzium, pertandingan qasidah, seni suara burung dan ayam serama serta bengkel asas seperti seni telepuk, melangir keris dan wau sobek.
Selain itu, sesi eksklusif bersama kartunis terkenal Lat, selain permainan tradisional, Fun Run dan segmen bicara seni.
Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan berkata festival itu itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh semangat Malaysia Madani dengan menekankan jati diri nasional, nilai kebersamaan dan persefahaman antara rakyat.