
Ketua Polis Manjung, Hasbullah Abd Rahman, berkata siasatan awal mendapati mangsa menyerahkan beberapa keping gambar bogel selepas diperdaya suspek menyamar pegawai perubatan.
Beliau berkata, suspek dipercayai menghubungi mangsa melalui Telegram dan memperkenalkan diri sebagai doktor menjalankan pemeriksaan kesihatan.
“Mangsa diminta memberikan maklumat diri dan keluarga serta menghantar beberapa keping gambar tanpa pakaian, kononnya bagi tujuan pemeriksaan kanser serviks dan payudara.
“Suspek menyatakan hanya perlu menggunakan gambar mangsa tanpa pemeriksaan secara fizikal. Mangsa menyedari dirinya ditipu dan selepas itu membuat laporan polis kerana bimbang gambar peribadinya tersebar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menyarankan ibu bapa dan masyarakat lebih peka isu semasa berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali.
“Orang ramai juga disaran mengaktifkan ciri keselamatan ‘two-step verification’ pada aplikasi Telegram sebagai langkah melindungi akaun media sosial dan platform komunikasi.
“Kita telah membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.”
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat Nur Munawarah 011-16240391 atau Bilik Gerakan IPD Manjung 05-688 6222, selain hotline WhatsApp 017-682 8005 bagi membantu siasatan.