Awang Tengah nafi dakwaan persaingan senyap, berpuak

Awang Tengah nafi dakwaan persaingan senyap, berpuak

Timbalan Premier Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan menyifatkan dakwaan wujudnya persaingan antara kumpulan yang menyokong beliau dan Premier Abang Johari Openg sebagai tidak berasas.

Awang Tengah Ali Hassan
Awang Tengah Ali Hasan berkata dakwaan tidak berasas itu telah menimbulkan rasa curiga dan seolah-olah menggambarkannya sebagai seorang yang ‘gila kuasa’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Premier Sarawak Awang Tengah Ali Hasan menolak dakwaan wujud persaingan senyap sedang memuncak antara penyokong beliau dan wakil Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Menurut laporan The Borneo Post, beliau menafikan kewujudan perebutan kuasa dan menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.

Beliau turut menolak laporan FMT mendakwa persaingan antara dua kumpulan semakin memuncak menjelang kemungkinan pertembungan politik yang boleh menentukan hala tuju masa depan negeri itu.

Menteri perdagangan antarabangsa dan pelaburan negeri itu turut mempersoalkan sumber yang dikaitkan dalam laporan berkenaan.

“Itu semua cuma sampah.

“Saya bukan jenis berpura-pura. Sokongan saya terhadap kepimpinan Abang Johari tidak berbelah bahagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Sari, malam tadi.

Penafian Awang Tengah itu hadir sehari selepas Abang Johari sendiri menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘tidak berasas’ dan didorong rasa cemburu terhadap pertumbuhan pesat ekonomi Sarawak.

Awang Tengah berkata, dakwaan yang tidak berasas itu telah menimbulkan rasa curiga dalam kalangan pihak tertentu, seolah-olah menggambarkan dirinya sebagai seorang yang ‘gila kuasa’.

“Saya percaya kepada nilai yang ditanam dalam diri saya, iaitu semangat kerja berpasukan, kesetiaan kepada kepimpinan dan mengutamakan parti berbanding sebarang bentuk kepuakan.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip-prinsip ini,” katanya.

Khamis lalu, FMT memetik sumber melaporkan wujud persaingan antara kumpulan penyokong kedua-dua pemimpin itu yang boleh mencetuskan gerakan politik intensif dalam beberapa bulan akan datang, menjelang pilihan raya negeri yang dijadualkan pada 2026.

Menurut sumber itu, Abang Johari mendapat sokongan kuat daripada pengundi luar bandar dan perwakilan PBB yang beliau ketuai.

Beliau turut disokong oleh perkhidmatan awam negeri kerana giat melaksanakan pembangunan infrastruktur, inisiatif ekonomi digital serta usaha mendapatkan autonomi ke atas hasil negeri yang disalurkan melalui jentera kerajaan.

Awang Tengah, yang juga Naib Presiden PBB, dilihat oleh sesetengah pihak sebagai pemimpin berkarisma, dan menurut sumber itu, beliau turut mendapat sokongan akar umbi yang signifikan serta dikenali sebagai pentadbir yang cekap dalam menguruskan projek pembangunan negeri.

Ketua Penerangan PBB Abdul Karim Rahman Hamzah turut menolak dakwaan wujudnya perebutan kuasa dan menegaskan dua pemimpin tertinggi PBB itu tidak bersaing antara satu sama lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.