Suspek rasuah projek pusat data sanggup bakar wang hampir RM1 juta

Suspek rasuah projek pusat data sanggup bakar wang hampir RM1 juta

Suspek membakar wang itu dalam serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya di Petaling Jaya, Khamis lalu.

rampasan barang kemas n duit sprm
Sebahagian wang hampir RM1 juta telah dibakar selain barang kemas serta jam yang ditemui SPRM dalam serbuan di rumah suspek, Khamis lalu.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang kertas RM100 berjumlah hampir RM1 juta yang telah dibakar dalam serbuan ke rumah suspek dipercayai terbabit dalam rasuah perolehan tender projek pembinaan pusat data.

Sumber memberitahu wang itu dipercayai dibakar oleh suspek iaitu pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka yang terkejut dengan serbuan agensi anti rasuah terbabit di rumahnya di sini, Khamis lalu.

Katanya, suspek dipercayai bertindak nekad mengambil beberapa bungkusan wang tunai dan cuba melupuskannya dengan membakarnya setelah melihat kehadiran sepasukan pegawai SPRM.

“Selepas pintu rumah berjaya dibuka, pasukan SPRM yang membuat serbuan mendapati keadaan dalam rumah berkenaan dipenuhi asap tebal berpunca dari sebuah bilik mandi.

“Hasil pemeriksaan dijalankan di bilik mandi berkenaan, SPRM menemui wang kertas RM100 berjumlah RM1 juta yang sudah terbakar,” katanya.

Sumber berkata SPRM kemudian menemui wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disimpan di dalam beberapa kotak bantal, tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier selain barang kemas seperti cincin serta syiling emas.

Katanya, kesemua barangan berkenaan kemudian disita SPRM bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan mengenai tindakan suspek yang membakar wang kertas itu.

Menurutnya, tindakan suspek cuba melupuskan bahan-bahan bukti adalah satu kesalahan serius yang boleh didakwa di bawah seksyen 201 Kanun Keseksaan serta membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Bagaimanapun beliau berkata, fokus utama siasatan kes ini adalah di bawah seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Semalam, seorang pengurus kontrak sebuah syarikat bersama isterinya direman kerana dipercayai terbabit rasuah perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180 juta.

Turut direman dua pengarah syarikat pembinaan terkemuka itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.