Pertemuan ‘Barisan Pembangkang Bersatu’ lebih kuat jika ada PAS, kata pemimpin

Pertemuan ‘Barisan Pembangkang Bersatu’ lebih kuat jika ada PAS, kata pemimpin

Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden ditanya tentang ketiadaan PAS dalam pertemuan mengenai cadangan tubuh Barisan Pembangkang Bersatu.

Afnan Hamimi holds a Press Conference "Youth Reject URA"
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan Barisan Pembangkang Bersatu baik untuk membina kekuatan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin utama PAS percaya pertemuan pelbagai parti mengenai cadangan menubuhkan ‘Barisan Pembangkang Bersatu’ akan lebih kuat dengan kehadiran PAS.

Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata beliau tidak mempunyai maklumat pertemuan berkenaan, apabila ditanya tentang ketiadaan wakil PAS dalam perbincangan dipengerusikan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin itu.

Beliau bagaimanapun percaya pertemuan itu mungkin diketahui oleh kepimpinan tertinggi PAS.

“Saya tak tahu apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pertemuan itu tapi saya rasa kalau PAS hadir, lebih memperkuatkan pertemuan,” katanya kepada FMT.

Naib Presiden Amar Abdullah berkata beliau tidak mempunyai butiran pertemuan tersebut.

“Kena tanya setiausaha agung (Takiyuddin Hassan) sebab dia yang berhubung dengan Bersatu (parti Muhyiddin),” katanya.

Antara parti yang hadir mesyuarat semalam adalah Muda dan Parti Sosialis Malaysia, Pejuang dan Putra, Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia dan Parti Kemajuan Malaysia (MAP), selain Bersatu, Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia.

Muhyiddin di Facebook semalam berkata Barisan Pembangkang Bersatu bertujuan memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti-parti pembangkang di dalam dan luar Parlimen.

Menurutnya, barisan rentas parti itu akan mengambil pendirian bersama dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

Afnan menyifatkan pertemuan itu sebagai bagus dan baik untuk membina kekuatan pembangkang.

“Saya kira Muhyiddin memainkan peranan sebagai pengerusi PN,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz beritahu FMT bahawa pemimpin PAS dimaklum dan diundang ke pertemuan tersebut.

Beliau berkata tidak timbul isu PAS dipinggirkan.

“PAS dijemput. Ia pertemuan santai melibatkan hanya ketua-ketua parti blok bukan kerajaan. Tidak timbul isu (PAS dipinggirkan),” katanya.

Tun Faisal menjelaskan acara ‘minum-minum kopi’ itu bagi mendapatkan pandangan ketua-ketua parti yang hadir.

“Tiada keputusan yang mengikat tapi banyak pandangan bernas tentang bagaimana parti-parti bukan blok kerajaan boleh memainkan peranan dan fight untuk ‘common cause’,” katanya.

Menurut beliau, hasil pertemuan akan dibincangkan bersama rakan gabungan PN secara rasmi nanti.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad beritahu Sinar Harian bahawa partinya tidak hantar wakil ke pertemuan tersebut kerana tiada pemimpinnya berada di Kuala Lumpur ketika itu dan mempunyai komitmen lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.