
Ibu bapa Beng Hock, kakaknya Lee Lan, dan ahli Teoh Beng Hock Association for Democratic Advancement (TBH-ADA) memberikan tunduk hormat pada satu majlis peringatan anjuran persatuan tersebut.
“Kami keluarga Teoh Beng Hock, dan TBH-ADA akan membalas tunduk hormat sebagai tanda budi bahasa.
“Kami beri penghormatan kepada setiap individu, setiap organisasi, setiap parti dan orang yang bersama kami dalam perjuangan yang panjang ini.
“Kami mengucapkan terima kasih atas solidariti anda yang tidak berbelah bahagi. Kami percaya sokongan anda diberikan bukan atas dasar simpati atau ihsan, tetapi atas dasar harapan yang sama terhadap keadilan,” kata pengacara majlis.
Majlis malam tadi menandakan ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock.
Pada Khamis, pemimpin-pemimpin DAP menundukkan badan sebagai tanda sedih, memohon maaf dan menghormati keluarga mendiang.
Setiausaha Agung Loke Siew Fook, Naib Pengerusi Teo Nie Ching, Ketua DAP Selangor Ng Sze Han, dan bekas majikan Teoh, Ean Yong Hian Wah, tunduk badan selama kira-kira seminit selepas sidang media di ibu pejabat DAP.
Sehari sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, mengutuskan permohonan maaf dan simpati terhadap penderitaan ditanggung keluarga Beng Hock, yang meninggal dunia ketika disoal siasat pada 2009.
Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM.
Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya disebabkan perbuatan satu atau lebih individu yang tidak dikenali ketika dalam tahanan SPRM.
Pada Mei, bekas Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, mengesahkan kertas siasatan kes kematian Beng Hock diklasifikasi sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA), selepas Pejabat Peguam Negara meneliti keseluruhan keterangan dalam kertas siasatan dikemukakan polis.