Muda belum putus sertai Barisan Pembangkang Bersatu

Muda belum putus sertai Barisan Pembangkang Bersatu

Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz berkata perbincangan berhubung kerjasama politik akan dibuat bersama pimpinan parti secara kolektif.

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya
Amira Aisya Abdul Aziz berkata Muda terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak ingin memperjuangkan dasar dan prinsip sama, seperti kerjasamanya dengan PSM dan Pejuang.
PETALING JAYA:
Muda belum membuat keputusan menyertai Barisan Pembangkang Bersatu yang dicadangkan Bersatu susulan perjumpaan dengan parti di luar blok kerajaan dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin semalam.

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, berkata partinya percaya pembangkang perlu menjadi suara tegas, kuat dan berprinsip untuk memastikan kerajaan tidak terlepas tanggungjawab diamanahkan.

Menurutnya, Muda terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak ingin memperjuangkan dasar dan prinsip sama, seperti kerjasamanya dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta Pejuang.

“Namun begitu, tidak ada sebarang keputusan dibuat berkaitan kerjasama politik setakat ini. Segala perbincangan berkenaan kerjasama politik akan dibuat bersama pimpinan Muda secara kolektif,” katanya dalam kenyataan.

Amira yang menghadiri perjumpaan semalam bagaimanapun berkata: “Semua parti yang hadir punya perbezaan cukup besar, tetapi saya fikir ada beberapa isu pokok yang kita semua risaukan.

“Isu kos sara hidup yang membelenggu rakyat, salah guna kuasa semakin berleluasa dan janji reformasi masih tidak ditunaikan.”

Turut hadir perjumpaan semalam ialah Pengerusi Urimai P Ramasamy, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, Presiden Putra Ibrahim Ali, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia P Waytha Moorthy.

Terdahulu, Ramasamy hari ini dilaporkan menyokong cadangan Bersatu kerana blok sedemikian boleh memperkukuh kekuatan pembangkang, khasnya dalam kalangan pengundi Cina dan India bagi menghadapi perubahan lebih besar pada PRU akan datang.

Arutchelvan pula dilaporkan berkata, PSM belum membuat keputusan menyertai kumpulan itu dan sebarang keputusan menyertai gabungan baharu hanya boleh dibuat Kongres PSM.

Bersatu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Selasa lalu memberi kuasa kepada Muhyiddin untuk menerajui usaha membina hubungan dengan parti di luar blok kerajaan bagi membentuk Barisan Pembangkang Bersatu.

Setiausaha Agungnya, Azmin Ali dilaporkan berkata, inisiatif itu bagi membincang dan mengambil pendirian bersama berhubung isu menyentuh kepentingan rakyat.

Susulan mesyuarat malam tadi, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau akan membangkitkan pandangan pemimpin parti pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.