
Ahli Parlimen Pandan itu berkata sebarang pertukaran kerajaan ketika ini boleh menggugat usaha mengurus cabaran ekonomi yang semakin meningkat, termasuk unjuran pertumbuhan yang perlahan di seluruh rantau Asean.
“Kita tak boleh tukar kerajaan sekarang kerana kita sedang berdepan cabaran ekonomi yang serius,” katanya dalam audio siar Yang Berhenti Menteri, semalam.
Beliau merujuk ramalan negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Filipina mungkin mengalami penurunan pertumbuhan sebanyak 2% hingga 3%.
Menurut Rafizi, jika pertumbuhan Malaysia merosot kepada 3% atau lebih rendah, ia boleh membawa risiko besar kepada negara dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, katanya.
Sehubungan itu, bekas timbalan presiden PKR itu menekankan kerajaan stabil diperlukan untuk mengurus keadaan itu dan menamatkan penggal pemerintahan lima tahun bermula hujung 2022.
Pembangkang telah merancang himpunan besar-besaran ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai untuk mendesak Anwar meletak jawatan.
Penganjur mendakwa mereka menjangkakan sehingga 300,000 peserta, meningkat berbanding sasaran awal iaitu 50,000 orang.
Rafizi berkata beliau tidak berniat mengkritik atau memalukan Anwar di Dewan Rakyat apabila ia bersidang semula Isnin ini.
Kenyataan itu susulan kenyataan Anwar sebelum ini bahawa beliau tidak bercadang mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen PKR yang menyuarakan pandangan berbeza mengenai pelantikan kehakiman.
Minggu lalu, 19 bahagian PKR di Johor menggesa supaya Rafizi dan lapan lagi Ahli Parlimen digantung selepas mereka menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan satu pendengaran Parlimen berhubung kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi.
Sembilan Ahli Parlimen berkenaan mendakwa isu itu merupakan krisis perlembagaan, satu dakwaan yang dinafikan oleh Jabatan Peguam Negara. Jabatan itu turut menolak cadangan penubuhan RCI, dan menyatakan bahawa proses pelantikan sedang berjalan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Wan Ahmad Farid Wan Salleh telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara awal bulan ini.
Yang di-Pertuan Agong turut memperkenan pelantikan Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak. Ketiga-tiga mereka akan mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan di Istana Negara pada 28 Julai ini.