
Sambil menyatakan kesediaan bekerjasama dengan parti dan pertubuhan bukan Melayu, Mukhriz berkata tiada kekok atau konflik terhadap pendirian terbukanya dalam agenda Melayu itu.
“Ini kerana agenda Melayu tidak pernah merugikan kaum-kaum lain, sebaliknya kesejahteraan masyarakat Melayu yang sebahagian besarnya masih tertinggal dari arus kemajuan negara akan membawa kesejahteraan bagi sahabat-sahabat mewakili etnik lain.
“Hanya apabila Melayu yang majoriti bersatu padu, barulah perpaduan lebih inklusif bersama semua kaum akan berjaya dicapai,” katanya berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Pejuang.
Turut hadir Mahathir yang mengasaskan Pejuang. Selain itu pemimpin dari Perikatan Nasional (PN) antaranya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.
Turut menarik perhatian kehadiran Setiausaha Agung MIC S Ananthan dan Setiausaha Eksekutifnya, A T Kumararajah.
Bulan lalu, Mahathir melancarkan Sekretariat Orang Melayu sebagai badan payung untuk menghimpunkan semua orang Melayu dan memulihkan kuasa politik mereka.
Bekas presiden Umno, yang kemudiannya memimpin Bersatu, Pejuang dan GTA, berkata perikatan itu bukan parti politik formal buat masa ini tetapi gabungan untuk menghimpunkan orang Melayu bawah satu ‘payung besar’.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata Pejuang juga akan meneruskan kerjasama dengan PN bagi membentuk gabungan pembangkang kuat untuk menghadapi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRU16.
Menurutnya, Pejuang sebelum ini telah menyokong PN pada PRN Ogos 2023 termasuk dengan tidak meletakkan calonnya meskipun mempunyai dua Adun masing-masing di Kedah serta Selangor.
“Pejuang menyokong PN dalam PRN dan empat kawasan DUN itu telah dimenangi PN,” katanya.