
Ahli ekonomi Samirul Ariff Othman berkata Sabah kebelakangan ini menarik lebih banyak kehadiran syarikat minyak antarabangsa susulan ketidaktentuan di Timur Tengah dan iklim pelaburan Malaysia yang lebih stabil secara perbandingan.
“Insiden pertembungan Iran-Israel dan ketegangan memuncak di Laut Merah telah menjadikan insurans penghantaran, kos keselamatan dan kestabilan bekalan di Timur Tengah dan Amerika Utara semakin tidak menentu,” kata pensyarah adjung Universiti Teknologi Petronas itu.
“Pelabur sedang mencari alternatif berisiko rendah tetapi berpotensi tinggi dan Asia Tenggara menepati profil itu.”
Samirul memberitahu FMT zon O&G tertentu di Malaysia akan mendapat manfaat lebih besar daripada tren ini.
Katanya, walaupun Lembangan Langkasuka di luar pantai barat Semenanjung Malaysia menerima sedikit perhatian, proses penjanaan hasil mungkin perlahan kerana kekurangan infrastruktur.
“Buat masa ini, Sabah mendahului dalam aliran FDI jangka pendek, diikuti Sarawak,” katanya sambil menambah tindakan ConocoPhillips beralih dari Sarawak mencerminkan keyakinan terhadap potensi blok perairan dalam yang belum diteroka di negeri Borneo Utara itu.
“Dengan kajian berterusan di Blok SB409 dan SB310, serta pembangunan semula medan Kota Belud, Sabah dijangka menjadi tumpuan menjelang separuh kedua 2025,” kata Samirul.
Sebelum ini, dilaporkan syarikat gergasi minyak dan gas itu telah menarik diri dari Sarawak, sebahagiannya disebabkan ketidaktentuan peraturan.
Samirul berkata walaupun Sarawak memiliki infrastruktur LNG yang mantap dan lembangan aktif — termasuk blok gas SK318 dan SK408 — ketidaktentuan kawal selia terus melemahkan keyakinan pelabur.
“Ketegangan peraturan antara Petronas dan Petros kekal sebagai pemboleh ubah risiko politik,” tambahnya.
“Walaupun syarikat minyak negeri Sarawak, Petros, telah memperkukuh peranannya dalam pengurusan sumber huluan, pertindihan bidang kuasa menimbulkan kekaburan dalam pembahagian fiskal dan proses pelesenan.”
Mei lalu, kerajaan persekutuan dan Sarawak mengumumkan satu perjanjian menyaksikan Petros akan mengambil peranan sebagai pengumpul gas di Sarawak.
Namun begitu, kedua-dua syarikat masih dalam rundingan berhubung terma undang-undang, operasi dan komersial, yang turut melibatkan isu pertindihan serta kerumitan.
Tricia Yeoh dari University of Nottingham Malaysia pula berkata pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Februari lalu mengenai persefahaman dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg masih belum cukup untuk meredakan kebimbangan pelabur.
Bercakap kepada FMT, beliau berkata pengumuman itu kurang ketelusan kawal selia, menyebabkan sentimen pelabur kekal tidak menentu, khususnya apabila prosiding undang-undang antara Petronas dan Petros mengenai jaminan bank RM8 juta masih berterusan.
Yeoh menggesa kedua-dua pihak menarik balik saman itu dan menetapkan satu perjanjian baharu yang jelas dan berpandangan ke hadapan.
Namun begitu, beliau mengakui satu aspek positif daripada pengumuman itu — iaitu semua kontrak sedia ada antara Petronas dan pihak ketiga akan diteruskan. Bagaimanapun, masih ada kekaburan besar mengenai hubungan Petronas-Petros.
“Kedua-dua kenyataan tidak menyentuh tuntutan Sarawak terhadap sumber lebih 200 batu nautika dari perairan wilayahnya, jadi isu itu kekal tergantung,” katanya, merujuk kepada ucapan Anwar di Dewan Rakyat pada 17 Februari dan kenyataan media oleh Abang Johari keesokan harinya.
Samirul berkata, pembaharuan domestik — khususnya kelulusan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) yang lebih pantas dan ketelusan kawal selia lebih baik di Malaysia Timur — diperlukan untuk mengekalkan momentum FDI hingga 2026 dan seterusnya.
Menurutnya, PSC Malaysia kompetitif berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam, dengan syarikat membayar royalti atau bayaran tunai 5% masing-masing kepada kerajaan persekutuan dan negeri selepas 70% hasil digunakan untuk menampung kos pengeluaran minyak.
Namun, katanya beban royalti gabungan 10% boleh menjadi tinggi bagi medan berskala kecil, terutamanya gas luar pesisir dengan kelulusan PSC seharusnya lebih pantas.
Yeoh menggesa Putrajaya menjelaskan secara terperinci syarat pemberian pengecualian atau kelonggaran kepada negeri tertentu, serta rasional di sebalik setiap keputusan.
“Menangguhkan isu ini setahun lagi — atau 10 tahun — akan memberi kesan buruk besar kepada pembangunan industri minyak dan gas negara,” tegasnya.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, perlu ada jawatankuasa bersama Petronas-Petros (terdiri daripada wakil undang-undang, kewangan dan teknikal, serta wakil kerajaan persekutuan dan negeri) yang akan merundingkan butiran ini.”
Yeoh mencadangkan jawatankuasa itu diberikan ruang bermesyuarat secara tertutup sehingga mencapai kata sepakat — dan hasilnya kemudiannya diumumkan secara terbuka.
“Negara kemudian boleh bergerak maju secara konstruktif,” katanya.
Masa depan Petronas lebih kukuh
Mengulas kerjasama terkini, Samirul berkata Petronas sedang memperkukuh usaha sama huluan dengan ConocoPhillips, Eni, TotalEnergies dan Idemitsu — termasuk di Indonesia — yang telah meningkatkan kredibiliti huluan Malaysia sambil mengurangkan risiko operasi dan geopolitik.
“Dengan peningkatan kos huluan global akibat inflasi, gangguan rantaian bekalan dan keperluan penerokaan lebih dalam di laut, usaha sama adalah strategi berpatutan untuk mengurangkan risiko,” katanya.
Samirul menjelaskan pemilikan bersama membantu menyebarkan kos penerokaan, mengurangkan pendedahan modal dan membolehkan rakan kongsi berkongsi teknologi canggih.
Kerjasama ini juga memberi peluang kepada Petronas untuk memperoleh kepakaran teknikal daripada syarikat minyak antarabangsa berpengalaman dalam pengurusan karbon dan penerokaan serta pengeluaran digital (E&P) yang menyokong matlamat peralihan tenaga syarikat itu, tambahnya.