
Dalam penghakiman persetujuan yang direkodkan di hadapan Hakim Helmi Ghani, Ramasamy bersetuju menerima penjelasan Chow bahawa beliau telah mempengerusikan dua mesyuarat utama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC): mesyuarat jawatankuasa kecil pada 28 Nov 2022 dan mesyuarat lembaga pada 9 Feb 2023.
Kedua-dua mesyuarat itu membincangkan penjualan tanah seluas 226 hektar di Byram, Batu Kawan, kepada Umech Land Sdn Bhd.
Ramasamy bersetuju untuk menggugurkan saman tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
Shamsher Singh Thind mewakili Ramasamy manakala Ruebankumar Asokan mewakili Chow.
Sementara itu, PDC turut menarik balik saman fitnahnya terhadap Ramasamy.
Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, beliau bersetuju menarik balik kenyataan dibuat mengenai agensi itu dan menamatkan kedua-dua saman terbabit secara kekal, tanpa perintah mengenai kos.
Ramasamy memulakan prosiding fitnah terhadap Chow pada 18 Julai tahun lepas berhubung kenyataan yang diterbitkan di akaun Facebook rasminya pada 3 Okt 2023, yang secara salah menuduhnya terlibat dalam meluluskan perjanjian PDC-Umech Land dan merosakkan reputasinya.
Urus niaga tanah Batu Kawan membabitkan plot seluas 226 hektar, yang pada mulanya dijual melalui tender rundingan terus, menjadi subjek kontroversi berikutan dakwaan ia dijual di bawah nilai pasaran.
PDC pada mulanya menjual tanah tersebut kepada Umech Land pada harga RM646 juta.
Berikutan kontroversi dan perubahan dalam pemilikan majoriti Umech Land, PDC membatalkan perjanjian usaha sama dan membuka penjualan tanah itu melalui tender terbuka.