Pimpinan Umno perlu reda desakan campur tangan rayuan titah tahanan rumah Najib

Pimpinan Umno perlu reda desakan campur tangan rayuan titah tahanan rumah Najib

Ketua PKR Titiwangsa Syed Badli Shah Syed Osman berkata desakan 160 ketua Umno bahagian boleh menyebabkan ketidakstabilan politik.

UMNO DIVISION CHIEFS - ROYALE CHULAN KL
Semalam, seramai 160 ketua bahagian Umno mendesak peguam negara tarik balik permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan benarkan Najib Razak memulakan semakan kehakiman berhubung titah adendum.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin akar umbi PKR meminta kepimpinan Umno meredakan desakan campur tangan pelaksanaan titah adendum membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Ketua PKR Titiwangsa Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa desakan disuarakan 160 ketua bahagia Umno semalam yang meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakannya boleh mewujudkan ketidakstabilan politik.

Menurutnya, menjadi satu kerugian jika kerajaan menjadi tidak stabil hanya kerana satu desakan tidak wajar dan mencampuri urusan mahkamah.

Jelasnya, semua pihak wajar menunggu sehingga keputusan akhir Mahkamah Persekutuan sama ada titah adendum itu wujud secara berperlembagaan atau tidak.

“Saya yakin sejurus keputusan rasmi diperolehi, kerajaan akan bertindak sewajarnya berdasarkan undang-undang.

“Justeru itu saya meminta kepimpinan Umno untuk memainkan peranan meredakan desakan ini untuk mengelakkan sebarang ketidak stabilan politik,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, seramai 160 ketua bahagian Umno mendesak Peguam Negara Dusuki Mokhtar menarik balik permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman berhubung titah adendum.

Ketua Umno Wangsa Maju Shafei Abdullah yang mewakili mereka, berkata peguam negara sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan seharusnya menjunjung titah raja, mendukung keadilan, dan bukan menghalangnya.

Mereka turut meminta Presiden Umno Zahid Hamid untuk bertemu dengan Anwar bagi membincangkan pelaksanaan hukuman tahanan rumah terhadap Najib seperti diperkenankan dalam oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan dimaklumkan bahawa Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang menjadi peguam negara ketika titah adendum itu ditandatangan pada Januari tahun lalu, mengakui kewujudannya.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan pendakwa raya mengakui kewujudan perintah tambahan semasa berhujah pada 2 Julai, namun mempersoalkan kesahihannya.

Najib mahu kerajaan melaksanakan perintah tambahan bertarikh 29 Jan 2024 yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.

Bekas presiden Umno itu mengetahui kewujudan titah itu tidak lama selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pengurangan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta pengurangan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta, pada awal Februari tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.