Pakatan GRS-PN tetap ‘sukar jadi’, kata penganalisis

Pakatan GRS-PN tetap ‘sukar jadi’, kata penganalisis

Bilcher Bala berkata, GRS kurang minat kerjasama dengan gabungan didominasi Semenanjung seperti PN menjelang PRN Sabah.

GRS
Pendirian Pengerusi GRS Hajiji Noor sejak sekian lama bahawa Sabah mesti dipimpin oleh parti tempatan cermin sentimen kuat akar umbi yang mahukan autonomi tempatan, kata penganalisis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerjasama prapilihan raya antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN akan datang sememangnya tidak pernah dijangkakan terjalin, kata penganalisis, memetik penekanan GRS terhadap kepimpinan tempatan dan penerimaan PAS yang terhad di Malaysia Timur.

Bilcher Bala daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, sekalipun gabungan pembangkang cuba menjalin kerjasama, pakatan PN-GRS tetap ‘sukar jadi’.

Minggu lepas, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN akan datang, disebabkan ‘pengkhianatan’ beberapa pemimpin GRS yang meninggalkan Bersatu pada November 2022 selepas PRU15.

Bilcher menyatakan bahawa GRS kini telah meletakkan dirinya sebagai sebuah gabungan yang memperjuangkan hak dan identiti Sabah.

Beliau juga berkata, pendirian Pengerusi GRS dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor sejak sekian lama bahawa Sabah mesti dipimpin oleh parti tempatan, mencerminkan sentimen kuat pada peringkat akar umbi yang mahukan autonomi.

“Hajiji malah memberi amaran bahawa GRS bersedia bergerak secara solo jika perlu. Itu sahaja sudah menunjukkan kurangnya minat untuk bekerjasama dengan gabungan yang didominasi Semenanjung seperti PN.

“Berdasarkan dinamik politik semasa, GRS mungkin tidak akan berusaha menjalin kerjasama dengan PN, sekalipun PN tidak menolak kemungkinan itu,” katanya.

Tambahnya, reputasi PAS di Malaysia Timur merupakan satu lagi halangan besar. ‘Retorik agama yang ekstrem’ dan matlamat parti itu untuk menjadikan Malaysia negara Islam menyebabkan ramai pengundi di Sabah dan Sarawak menjauhkan diri, katanya.

Para pemimpin PAS mengakui kelemahan sokongan di Malaysia Timur dan mencadangkan autonomi untuk cabang mereka di Sabah dan Sarawak, tetapi Bilcher berkata, lebih banyak usaha perlu dilakukan parti itu untuk mengatasi imej negatifnya.

Beliau juga berkata, naratif ‘pengkhianatan’ yang diketengahkan oleh Muhyiddin mengeruhkan lagi hubungan antara PN dan GRS, menandakan rasa tidak percaya yang mendalam bekas perdana menteri itu terhadap gabungan pemerintah Sabah.

“Retorik seperti itu bukan sahaja ‘membakar jambatan’ malah terus merobohkannya. Jadi, sekalipun PN mengubah pendiriannya, GRS kemungkinan besar akan tetap berwaspada,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Ramli Dollah berkata, rakan kongsi utama GRS seperti STAR dan PBS sudah lama menunjukkan ketidakserasian ideologi dengan parti berasaskan agama seperti PAS.

Menurutnya, memandangkan PAS parti komponen PN, sebarang kerjasama rasmi dengan gabungan itu akan menyukarkan GRS mengekalkan sokongan pengundi bukan Islam.

“Ini menjadikan potensi kerjasama GRS-PN lebih rumit, bukan sahaja dari segi ideologi tetapi juga dari segi pilihan raya,” katanya.

Ramli turut menekankan, status PN sebagai blok pembangkang pada peringkat persekutuan menjadi satu lagi batu penghalang dalam sebarang potensi pakatan dengan GRS. Kerjasama GRS-PN boleh menjejaskan hubungan kerja sedia adanya dengan Pakatan Harapan (PH) pada peringkat persekutuan, tambahnya.

“Budaya politik Sabah sudah lama cenderung bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi memastikan pembangunan berterusan dan akses kepada sumber.

“Justeru, jika adapun kerjasama akan terjalin, ia lebih berkemungkinan berlaku antara GRS dengan PH,” katanya.

Sekretariat kerajaan perpaduan sebelum ini mengumumkan, PH dan Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama untuk PRN Sabah, mendorong Hajiji mengeluarkan kenyataan bahawa GRS bersedia bergerak solo jika PH bekerjasama dengan BN.

Bagaimanapun, Pengerusi PH Anwar Ibrahim kemudiannya menyeru agar pakatan PH-BN bekerjasama dengan GRS. Rundingan antara ketiga-tiga gabungan itu dikatakan sedang berjalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.