Kritik PM berhubung krisis kehakiman, Ratu Naga disiasat polis

Kritik PM berhubung krisis kehakiman, Ratu Naga disiasat polis

Aktivis itu hadir beri keterangan di IPD Petaling Jaya hari ini.

Ratu Naga kini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kritikannya terhadap perdana menteri berhubung krisis kehakiman.
PETALING JAYA:
Aktivis dikenali sebagai Ratu Naga hadir memberi keterangan di IPD Petaling Jaya hari ini dipercayai berkaitan hantaran media sosial mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung krisis kehakiman.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek selaku peguam mewakili Ratu Naga, atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah berkata, anak guamnya itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat yang dimaklumkan kepada kami, siasatan ini berkaitan satu video yang dimuat naik oleh Syarul Ema Rena yang mengkritik peranan perdana menteri dalam krisis kehakiman yang sedang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar, lapor Utusan Malaysia.

Zaid turut menzahirkan kebimbangan berhubung tindakan pihak berkuasa menyiasat individu yang mengutarakan pandangan berkaitan kepentingan awam seperti krisis kehakiman.

Katanya, dakwaan mengenai campur tangan eksekutif dalam pelantikan hakim dan kebocoran minit mesyuarat ialah isu yang membimbangkan ramai pihak.

“Jika benar muatan itu menyentuh isu krisis kehakiman, apakah wajar ia disiasat sebagai satu kes jenayah?” soalnya.

“Ini isu yang mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia. Semua orang yang peka terhadap sistem demokrasi dan tadbir urus negara pasti menyuarakan kebimbangan terhadap perkara ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.