
Current Media Group (CMG) juga menuntut pengiktirafan terhadap sumbangannya.
CMG dalam kenyataan berkata surat tuntutan (LoD) itu diserahkan semalam selepas semua usaha dialog tidak rasmi gagal dan tempoh diberikan kepada Miti untuk bertindak secara berhemah.
“Sekiranya Miti gagal memberikan maklum balas memuaskan dalam tempoh ditetapkan, CMG akan menggunakan semua saluran undang-undang,” katanya.
Pada 25 April lalu, pengasas CMG, Fey Ilyas, memuat naik hantaran di media sosial mendakwa Miti telah menggunakan reka bentuk syarikatnya untuk ekspo itu tanpa bayaran atau pengiktirafan.
Fey mendakwa syarikatnya telah dilantik kementerian itu pada 2022 untuk membangunkan konsep, tema dan arah seni bina bagi Pavilion Malaysia.
Katanya, cadangan itu telah dikemukakan kepada pihak berkepentingan utama termasuk Menteri Tengku Zafrul Aziz, dan syarikatnya telah diberikan jaminan berulang kali mereka akan dilantik secara rasmi untuk projek itu.
Namun, pada Januari 2023, mereka dimaklumkan pelantikan itu tidak akan diteruskan dan kementerian ingin membuka tender.
Fey mendakwa syarikatnya telah dipermain selama dua tahun dalam usaha mendapatkan pengiktirafan dan pampasan yang adil atas kerja yang telah dilakukan.
Katanya, syarikatnya turut dinasihatkan berdiam diri mengenai isu pengambilan reka bentuk tersebut bagi mengelakkan peluang masa depan terjejas.
Miti kemudiannya berkata ia sedang menjalankan siasatan dalaman dan mengambil serius dakwaan tersebut.
Kementerian turut menyatakan tindakan undang-undang akan diambil apabila perlu
Namun, menurut CMG, pihaknya tidak menerima sebarang permintaan untuk dokumen, temu bual atau penjelasan sejak kenyataan Miti itu dikeluarkan.
Dakwanya, kementerian juga tidak memberikan sebarang perkembangan bermakna berhubung status siasatan.
“CMG sekali lagi menegaskan kesediaannya untuk terlibat dalam proses pengantaraan secara konstruktif pada bila-bila masa, asalkan proses itu dijalankan dengan niat baik, mengiktiraf nilai kerja kreatif dan menegakkan syarat adil,” katanya.