Skim Rel Akhir MRT3 dilulus, raih sokongan awam

Skim Rel Akhir MRT3 dilulus, raih sokongan awam

Proses pengambilalihan tanah kini dapat dimulakan, menurut MRT Corp.

mrt
Laluan Lingkaran MRT3 merupakan laluan 51km bagi perimeter atau lingkungan Kuala Lumpur, diintegrasikan sepenuhnya menerusi 10 stesen pertukaran strategik.
KUALA LUMPUR:
Skim Rel Akhir bagi Laluan Lingkaran MRT3 telah diluluskan secara rasmi dan ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memaklumkan, kelulusan itu menyusuli langkah pemeriksaan awam yang dilaksanakan pada 2 Sept hingga 2 Dis 2024 yang telah menerima lebih 45,000 maklum balas bertulis.

“Sebanyak 93.3% daripada maklum balas itu memberi sokongan terhadap projek itu yang memaparkan sokongan padu orang awam dan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.

Laluan Lingkaran MRT3 merupakan laluan sepanjang 51km bagi perimeter atau lingkungan Kuala Lumpur, diintegrasikan sepenuhnya menerusi 10 stesen pertukaran strategik untuk membolehkan perjalanan dua hala secara lancar di seluruh Lembah Klang.

Menurut MRT Corp, beberapa penambahbaikan juga turut dilakukan ke atas penempatan stesen dan jejambat sepanjang laluan projek serta reka bentuk sistem rel Laluan Lingkaran MRT3.

Selain itu, jumlah lot tanah yang diperlukan juga telah dikurangkan daripada 1,012 kepada 690 lot yang meminimumkan impak ke atas komuniti terlibat.

“Menerusi kelulusan hari ini, proses pengambilalihan tanah dapat dimulakan dan disasarkan untuk siap menjelang akhir 2026.

“MRT Corp akan menghubungi komuniti terbabit serta memaklumkan mengenai penambahbaikan di kawasan berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.