
Ketua Pengarah, Aedy Fadly Ramli, berkata ia bertujuan memberi peluang kepada pemandu terlibat untuk mengikuti kursus pemulihan sebelum kelayakan lesen mereka dipertimbang semula.
“Mereka wajib menghadiri kursus pemulihan sebelum lesen tersebut diberikan semula. Perkara ini akan dilaksanakan dan dalam peringkat perincian.
“Kita sedang meneliti beberapa perkara lagi bersama Kementerian Pengangkutan untuk kita laksanakan program ini. Mungkin akan dimulakan secara rintis terlebih dahulu mulai November tahun ini,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus bersama persatuan pengusaha lori dan pengusaha bas ekspres dan pelancongan berkaitan inisiatif keselamatan jalan raya.
Dalam pada itu, Aedy berkata beberapa perkara mengenai kursus pemulihan antaranya membabitkan modul atau latihan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, objektif utamanya adalah untuk meningkatkan keselamatan jalan raya selain memperkukuh tahap profesionalisme dalam kalangan pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan barangan.
“Pemandu kenderaan berat sekarang apabila mendapat saja lesen PSV dan GDL, mereka terus boleh memandu dan mereka tidak ada latihan lanjutan.
“Kita melihat pentingnya latihan lanjutan dan juga kursus pemulihan ini untuk mengingatkan semula pemandu dengan peraturan kerana mungkin ada yang lupa,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini pelaksanaan kursus pemulihan dilaksanakan kepada pemegang lesen PSV dan GDL sebelum dipanjangkan kepada pemegang lesen memandu Malaysia (LMM).
“Kita mungkin perkenalkan ‘refresher course’ kursus lanjutan pemanduan untuk pemandu kenderaan berat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aedy memaklumkan rombakan terhadap sistem pemberian mata demerit kesalahan jalan raya (Kejara) sedang dilaksanakan dan kini di peringkat akhir sebelum dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk kelulusan menteri.
Katanya, perincian lanjut mengenai sistem tersebut akan diumumkan kepada orang awam selepas mendapat kelulusan rasmi daripada kementerian.
“Kami sudah bentangkan cadangan ini dua kali kepada menteri dan beberapa penambahbaikan serta pindaan perlu dilakukan, termasuk kaedah pengiraan mata demerit,” katanya.