
Johari berkata ini kerana laluan terbabit adalah jalan dalam dan peniaga tersebut telah menjalankan perniagaan secara sah di kawasan itu selama bertahun-tahun, lapor Berita Harian.
“Mereka diberi lesen. Ini adalah punca pendapatan mereka. Apabila DBKL tiba-tiba datang merobohkan gerai tempoh hari, mereka amat terkejut,” katanya.
“Kenapa perlu robohkan gerai untuk projek pelebaran jalan sedangkan ini bukan laluan utama?” katanya yang turut menggesa projek itu ditangguhkan hingga DBKL berbincang dengan semua pihak berkepentingan.
Johari turut mempersoalkan sama ada 60 lagi gerai di bahagian hujung jalan turut akan terkesan dengan projek pelebaran jalan itu pada masa depan.
Jangan bimbang, kami akan bantu peniaga
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, berkata DBKL telah mengadakan sesi libat urus dengan sembilan pemilik gerai tersebut sejak November lalu.
Beliau berkata sebahagian daripada mereka sudah bersetuju untuk berpindah tetapi ada sebilangan yang tidak bersetuju.
Zaliha juga memberi jaminan peniaga tidak perlu risau kehilangan sumber pendapatan kerana kementerian dan DBKL akan memastikan mereka ditempatkan semula untuk berniaga.
“Kami sepatutnya bertemu semula pada bulan ini untuk berbincang lokasi untuk mereka ditempatkan semula. Ini sebahagian daripada projek ‘Lestari Niaga’ (bagi menaik taraf dan mencantikkan gerai makanan di Kuala Lumpur), jadi saya fikir mereka tidak perlu bimbang.
“Kita akan membantu sedaya upaya untuk menempatkan mereka di lokasi lain dan memberikan mereka kemudahan untuk berniaga semula,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Cochrane di sini.
Zaliha menambah, projek pelebaran jalan tersebut perlu disegerakan kerana melibatkan keperluan awam.
“Saya sudah arahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL segera bertemu dengan peniaga terlibat dan beri mereka beberapa pilihan untuk berpindah ke tempat baharu,” katanya.
Terdahulu, DBKL memaklumkan peniaga telah diminta mengosongkan tapak itu sejak 15 Jan lalu, namun notis akhir hanya dikeluarkan pada 4 Julai.
Ketika operasi merobohkan gerai pada Selasa lalu, seorang lelaki yang memegang parang melakukan provokasi dan memaki hamun pegawai DBKL.
Lelaki itu kemudiannya ditenangkan oleh orang awam sebelum ditahan polis.