
Bung berkata beliau menghormati pandangan Rahman mengenai perkara itu, terutamanya apabila timbalan pengerusi Umno Sabah itu menyifatkan tindakan itu sebagai satu kesilapan besar dan hanya melemahkan kedudukan parti di negeri itu, lapor Borneo Post.
Bagaimanapun, Bung menegaskan tindakan menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri, Hajiji Noor, pada Januari 2023 bukan keputusan beliau sendiri, sebaliknya dibuat bersama kepimpinan Umno negeri.
Bekas timbalan ketua menteri itu berkata mereka telah menimbang segala implikasi sebelum bersetuju untuk menarik sokongan terhadap Hajiji.
“Kita menghormati masa lalu, tetapi kita bukan tawanannya,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Bung turut menuduh segelintir media cuba memutar belit isu lama.
“Saya ingin jelaskan. Umno Sabah bersatu, fokus dan komited sepenuhnya sebagai satu pasukan menghadapi pilihan raya negeri akan datang.”
Sejak beberapa tahun lalu, Bung dan Rahman beberapa kali dilihat berbalah, termasuk tahun lalu apabila Rahman menjemput Hajiji ke satu mesyuarat bahagian yang turut dihadiri Presiden Umno, Zahid Hamidi.
Pada Mac lalu, mereka sekali lagi berbalah berhubung kawasan mana yang patut Rahman bertanding dalam pilihan raya negeri.
Namun, Bung berkata perkara itu sekadar ‘perbezaan pendapat’ yang menurutnya proses biasa dalam usaha memperkukuhkan parti di peringkat negeri, dan tidak menyebabkan perpecahan secara total.
Pada Mei lalu, Zahid turut memberi amaran supaya Umno Sabah tidak berpuak-puak, dengan berkata perbalahan dalaman merupakan antara punca parti itu tewas dalam PRU lalu.