DAP berisiko hilang sokongan akibat isu Teoh Beng Hock, kata Ronnie Liu

DAP berisiko hilang sokongan akibat isu Teoh Beng Hock, kata Ronnie Liu

Penganalisis James Chin bagaimanapun berpendapat kemarahan masyarakat Cina terhadap isu ini tidak akan diterjemahkan kepada kehilangan undi.

Teoh Beng Hock
Keluarga Teoh Beng Hock berhak meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka memandangkan keadaan di sebalik kematiannya 16 tahun lalu masih belum diselesaikan, kata penganalisis James Chin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas veteran DAP memberi amaran parti itu berisiko kehilangan penyokong kerana dilihat gagal memastikan individu terbabit dalam kematian Teoh Beng Hock dibawa ke muka pengadilan.

Ronnie Liu berkata kematian pembantu khas itu pada 2009 telah menyatukan penyokong DAP, yang percaya pihak berkuasa ‘telah melakukan sesuatu yang buruk’.

“Apabila Teoh meninggal dunia, kerajaan persekutuan ketika itu tidak mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab. Jadi penyokong DAP memberikan sokongan penuh kepada parti,” katanya kepada FMT.

Teoh, iaitu pegawai politik kepada exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 ketika berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 5 Jan 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memberikan keputusan terbuka, menyatakan kematian Teoh bukan bunuh diri atau dibunuh. Mahkamah juga tidak menemui bukti penglibatan pihak ketiga. Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada Disember tahun yang sama.

Namun, pada 2014, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu dan memutuskan bahawa Teoh meninggal dunia akibat perbuatan menyalahi undang-undang oleh individu tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM.

Dalam permohonan semakan kehakiman dibawa oleh keluarga Teoh tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan polis menyelesaikan siasatan dalam tempoh enam bulan.

Mahkamah memutuskan kematian Teoh berpunca daripada perbuatan menyalahi undang-undang melibatkan pegawai SPRM.

Namun pada Mei lalu, Jabatan Peguam Negara menyatakan ‘tiada tindakan lanjut’ akan diambil kerana polis gagal mengenal pasti individu bertanggungjawab walaupun selepas siasatan baharu dijalankan.

Liu berkata meskipun pelbagai jaminan telah diberikan kerajaan termasuk ketika DAP menjadi sebahagian daripada pentadbiran, tiada tindakan diambil, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong dan ahli parti.

Beliau memberi amaran kekecewaan itu boleh mencetuskan boikot terhadap DAP dalam pilihan raya.

“Daripada pemerhatian saya, DAP mendapat sokongan kerana rakyat percaya parti itu memperjuangkan keadilan. Jika ia tidak lagi dapat mempertahankan prinsip itu, ia berisiko kehilangan kekuatan asalnya.

“Mereka mungkin tidak mengundi parti lain, tetapi mereka juga tidak akan undi DAP. Itu bahayanya.”

Kenyataan Liu itu dibuat susulan ketegangan terbuka antara DAP dan keluarga Teoh baru-baru ini, selepas Bendahari DAP Ngeh Koo Ham menuduh adik perempuan Teoh sebagai tidak tahu berterima kasih walaupun parti terus memberi sokongan.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook kemudian memohon maaf bagi pihak parti, sambil menyatakan kenyataan Ngeh tidak mencerminkan pendirian parti.

Loke juga mengakui bahawa parti itu mempunyai tanggungjawab moral terhadap keluarga Teoh.

Sementara itu, James Chin dari Universiti Tasmania mengakui bahawa kes itu telah menarik banyak simpati terhadap keluarga Teoh, terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina.

Namun, beliau tidak berpendapat bahawa isu ini akan menjejaskan peluang DAP dalam pilihan raya umum.

Chin berkata masyarakat Cina tidak melihat kematian Teoh sebagai isu politik.

“Walaupun masyarakat Cina mungkin marah terhadap isu ini, saya tidak fikir mereka akan menjadikan isu ini sebagai faktor utama dalam menentukan undi mereka apabila tiba masanya.

“Ada isu lain yang mereka anggap lebih penting,” katanya.

Chin menambah walaupun sebahagian kecil penyokong DAP menyalahkan parti kerana tidak mengambil sebarang tindakan, ramai yang beranggapan bahawa kes ini sukar diselesaikan kerana ia menyentuh jantung apa yang dupanggil sebagai ‘deep state’ (kerajaan dalam kerajaan).

Walaupun begitu, Chin menyifatkan kenyataan Ngeh sebagai “amat tidak bijak”, sambil berkata keluarga Teoh berhak sepenuhnya untuk meluahkan rasa marah dan kecewa tanpa diserang oleh parti memandangkan keadaan sekeliling kematian Teoh masih belum terungkai selepas 16 tahun.

“Lebih baik mereka (DAP) berdiam diri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.