
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asean Thailand Bolbongse Vangphaen berkata, kepengerusian Malaysia menguruskan siri mesyuarat itu dengan berkesan yang menumpukan pada agenda positif dan berpandangan ke hadapan.
“Saya percaya mesyuarat ini secara dasarnya mencapai objektifnya untuk menggalakkan penglibatan yang membina dan positif dalam kalangan semua kuasa besar, di samping memajukan kerjasama praktikal dalam rantau Asean,” katanya pada sidang media hari ini.
Bolbongse menekankan, mesyuarat itu diadakan tepat pada masanya berdasarkan konteks global semasa yang dicirikan oleh ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi yang ketara.
Beliau berkata Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa turut menegaskan kepentingan multilateralisme dan orde antarabangsa yang berasaskan undang-undang antarabangsa, yang akan menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan daya tahan serantau.
“Asean sudah tentu berusaha mengekalkan autonomi strategiknya sambil pada masa yang sama memperkukuh hubungan luarnya,” tambahnya.
Bolbongse turut menjelaskan, antara isu utama yang dibangkitkan oleh hampir semua negara di AMM ialah ancaman jenayah siber dan penipuan dalam talian yang semakin meningkat.
“Ini isu yang menjejaskan semua orang di rantau ini … mendatangkan ancaman terhadap ekonomi dan keselamatan manusia,” katanya.
“Thailand telah menjadikan usaha menangani dan membanteras jenayah rentas sempadan ini sebagai keutamaan negara dan isu itu telah menerima sokongan kukuh daripada semua negara yang mengambil bahagian.”
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai bawah kepengerusian Asean Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Siri mesyuarat itu merangkumi lebih 20 mesyuarat peringkat menteri, melibatkan rakan dialog dan rakan dialog sektoral Asean.